Sebahagian mualaf menanti waktu berbuka puasa di Masjid Jamek Haji Wahab SImpang Enam, George Town.

GEORGE TOWN – Sambutan Ramadan termasuk ketika berbuka puasa membawa erti amat besar kepada tiga saudara baharu yang memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

Ia kerana bukan sahaja ia merupakan Ramadan pertama dalam kehidupan mereka, malah suasana berbuka puasa beramai-ramai di masjid dianggap sebagai satu pengalaman baharu.

Bagi Law Chiew Lin, 27, dia bukan sahaja bersyahadah pada hari pertama Ramadan malah melalui satu pengalaman baharu apabila diajak berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam di Pulau Pinang.

Chiew Lin (kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin Zolkifly Md. Lazim (kanan) di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam, George Town.

Menurutnya, dia berasa tenang sebaik sahaja mengucapkan dua kalimah syahadah dan turut bergembira apabila dapat merasai nikmat berbuka puasa beramai-ramai dengan saudara baharu yang lain.

“Saya rasakan diri ini bukan sahaja diraikan malah diterima oleh komuniti di sini. Ini pengalaman baharu untuk saya dan Ramadan pertama bagi saya,” katanya.

Chiew Liu mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di ruang masjid berkenaan.

Chiew Liu memilih untuk bersyahadah setelah mendapat penerangan jelas dari beberapa rakan mualaf mengenai agama Islam.

“Islam juga mengajar saya agar tidak terputus hubungan dengan ahli-ahli keluarga lain walaupun mereka berbeza agama,” katanya.

Sementara itu, bagi Hew Boon Seng, 47, berpuasa dalam bulan Ramadan memang banyak cabaran kerana ia merupakan pengalaman baharu dalam hidupnya.

Boon Seng

Menurutnya yang telah memeluk Islam pada 21 Februari lalu, walaupun terpaksa menahan dahaga dan lapar namun ia sesuatu yang memberi ketenangan pada dirinya.

“Bila difikirkan kembali apabila dapat berpuasa, tidaklah sampai boleh mati sebab berpuasa. Saya rasa lebih sihat. Juga saya rasa satu pengalaman baharu kerana dapat berbuka puasa beramai-ramai di masjid ini,” katanya tersenyum.

Bagi Ooi Tiong Seng, 56, ia bukan sahaja Ramadan pertama bagi dirinya malah berkesempatan berbuka puasa beramai-ramai dan bersolat secara berjemaah.

Menurutnya, selain diraikan, dia juga merasakan dirinya diterima sebagai satu keluarga oleh komuniti setempat.

“Saya turut diberi tunjuk ajar cara-cara yang betul mengambil wuduk dan juga cara solat. Ini pengalaman baharu bagi saya dan jiwa saya juga tenang,” katanya yang telah memeluk Islam sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Zolkifly berkata, tiga saudara baharu berkenaan memeluk Islam atas usaha sukarela IKUT.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini beberapa program lain turut diatur bagi melibatkan penyertaan golongan mualaf agar mereka tidak merasa tersisih.

“Program-program untuk golongan mualaf ini akan diadakan dari satu masjid ke masjid lain.

“Ini bagi merapatkan hubungan golongan mualaf dengan komuniti setempat selain supaya saudara baharu ini dapat mengenail aktiviti-aktiviti yang diadakan di setiap masjid,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast