Jafni membuat tinjauan hari pertama Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda Johor Bahru, petang semalam.

JOHOR BAHRU – Tiada warga asing dibenarkan berniaga atau menyewa daripada orang tempatan di tapak bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri di negeri ini .

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri akan diambil ke atas mana-mana peniaga bazar itu yang didapati daripada kalangan warga asing.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, kita tidak mengeluarkan lesen bazar kepada peniaga asing dan juga jika ada sewa atas sewa, kita akan batalkan lesen itu dengan segera,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan hari pertama Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Selain itu kata Mohd Jafni, pihaknya tidak menghalang kreativiti peniaga dalam berniaga, namun perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan.

“Dalam memastikan semua peraturan dipatuhi peniaga bazar, kita mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, KKM akan bertindak memastikan peniaga mematuhi peraturan daripada segi penyediaan makanan mereka termasuk pengambilan suntikan thypoid dan sebagainya, manakala KPDN akan memantau daripada segi kawalan harga di bawah Akta Antipencatutan 2011.

“Sebenarnya penganjur bazar sudah tahu garis panduan yang sudah ditetapkan di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang perlu mereka patuhi, tetapi KKM dan KPDN akan sentiasa buat pemantauan dan pemeriksaan, jika mereka tidak patuhi peraturan, tindakan akan diambil ke atas mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, pada tahun ini, secara keseluruhannya sebanyak 12,757 petak jualan bagi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri diluluskan kerajaan negeri di 228 lokasi di seluruh kawasan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ini membabitkan 11,202 petak jualan di 200 lokasi bagi Bazar Ramadan dan 1,555 petak di 28 lokasi bagi Bazar Aidilfitri.

“Ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak kira-kira tiga peratus berbanding jumlah tahun lalu,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here