Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk mewujudkan unit kesihatan di setiap Bazar Ramadan susulan insiden kematian mengejut seorang warga emas di sebuah bazar Ramadan semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya belum bercadang untuk berbuat demikian sebaliknya pasukan kesihatan terdekat sentiasa bersiap sedia untuk menangani setiap kes kecemasan.

Beliau menyarankan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meletakkan nombor-nombor dan talian kecemasan di setiap Bazar Ramadan bagi memudahkan pengunjung.

“Jika ada berlaku apa-apa kes kecemasan termasuk pengunjung pengsan dan sebagainya, orang awam boleh terus berhubung menerusi talian kecemasan itu.

“Selain itu, unit kecemasan hospital di seluruh negara bersedia sepanjang masa bagi menangani setiap kes kecemasan membaitkan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan walkabout sempena Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Makanan di Bazar Ramadan, Presint 3, Putrajaya di sini, hari ini.

Dzulkefly menjawab pertanyaan wartawan sama ada wujud keperluan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menempatkan unit kesihatan di setiap Bazar Ramadan susulan insiden kematian mengejut seorang pengunjung bazar semalam.

Dalam kejadian itu seorang lelaki warga emas rebah dan meninggal dunia pada hari pertama Ramadan di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, Baling, Kedah.

Mangsa, Zainon Said, 75, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar 4.30 petang.

Difahamkan, warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius dan pernah ditahan di wad.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, isu peningkatan kos perubatan negara akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Jelasnya, KKM bersama Bank Negara dan Kementerian Kewangan (MOF) turut meneliti hal-hal berkaitan dengan peningkatan premium insurans.

“Beberapa pendekatan lain juga telah diambil dan saya tetapkan dalam waktu terdekat kita dapat tangani,” katanya.

Industri insurans dan takaful menerima banyak maklum balas selepas mengumumkan kenaikan mendadak premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus, berikutan dakwaan mereka mengenai kos perubatan yang tinggi.

Pada Januari lalu, syarikat insurans dijangka mengehadkan kenaikan premium insurans perubatan dalam usaha mengawal inflasi kos rawatan dan tuntutan masa depan, seiring rundingan antara pihak berkuasa dan hospital yang masih diteruskan.

Namun, ketidaktentuan mengenai keberkesanan langkah itu masih menjadi cabaran besar. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast