PONTIAN – Bekas pemain Sri Pahang FC, Mohammad Gopi Rizqi yang sebelum ini lincah beraksi di atas padang kini menceburi perniagaan menjual air balang di tepi jalan Kampung Api-Api di sini.
Mohammad Gopi, 36, tidak kekok menjual air air minuman sempena bulan Ramadan dan menarik perhatian bagi sesiapa yang mengenalinya.
Keputusan itu diambil bagi meneruskan hidup selepas berdepan tunggakan gaji melibatkan sebuah pasukan sejak lapan bulan lalu sekali gus menyukarkan kehidupan keluarganya.
“Saya berbincang dengan isteri, Nor Hidayah Roslan untuk kami lakukan sesuatu bagi mencari pendapatan bagi dua anak kami berusia lima dan dua tahun.
“Dalam keadaan sekarang ini, sudah lapan bulan saya tidak mendapat gaji, memang sukar. Kami ambil keputusan untuk jual air balang di depan rumah.
“Setakat ini cuma air balang mata kucing dan jagung dijual selain ada sedikit kuih muih. Isteri turut membantu dengan menjual popia carbonara,” katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.
Gopi yang berasal dari Kuantan, Pahang sebelum ini pernah bermain dalam saingan Liga M bersama Pahang dari 2010-2015, diikuti Selangor (2016), Johor Darul Ta’zim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020).
Malah dia turut telah mengumpul enam kaps sepanjang menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.
Selain itu sewaktu bersama Pahang selama tujuh musim, Gopi telah merangkul dua Piala Malaysia dan satu gelaran Piala FA.
Bercerita lanjut, Gopi tidak menyangka gambarnya sedang berniaga air balang tular dalam media sosial dan masih ramai yang masih mengenalinya.
“Alhamdulillah, ramai yang datang ke gerai saya untuk bergambar. Ada juga yang tidak sangka sekarang saya berada di Pontian.
“Tidak kurang juga ada yang tanya bila saya hendak masuk padang semula. Tetapi banyak kata-kata positif diberikan untuk saya dan keluarga teruskan perniagaan air balang pada Ramadan kali ini,” katanya.
Gopi memeluk Islam pada tahun 2020 mengikuti jejak ahli keluarganya yang lebih awal memeluk agama itu termasuk ibu saudaranya dan datuknya.
“Sejak kecil saya ramai berkawan dengan orang Melayu. Saya dapat banyak petunjuk dan akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam.
“Sudah lima tahun saya menjalani ibadah puasa sebagai seorang Muslim,” katanya.
Dalam pada itu, Gopi yang memegang lesen kejurulatihan D turut berhasrat untuk berkongsi ilmu dengan murid-murid sekolah di daerah yang berminat dalam sukan bola sepak.
“Sekiranya diberikan peluang, saya mahu kongsi pengalaman, dengan murid sekolah atau sesiapa sahaja sahaja yang berminat dengan bola dan bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak.
“Namun dalam masa yang sama, saya berharap perniagaan air balang ini boleh berkembang,” ujarnya .- MalaysiaGazette