KUALA LUMPUR – Tan Sri Rais Yatim diminta menyemak kesahihan sesuatu berita yang dikongsikan beliau di media sosial sebelum membuat tuduhan berbaur perkauman berhubung program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia kerana perkongsian Rais berhubung rakyat China yang didakwa menjadi penduduk tetap di negara ini adalah tidak tepat.
“Saya berasa hairan kenapa Rais Yatim, yang pernah menjadi ahli Kabinet dan memegang beberapa jawatan penting, kini bersikap sangat melampau.
“Mengapakah beliau berulang kali mencemuh pelbagai isu dan cuba mengelirukan orang ramai mengenai program MM2H?
“Perlu difahami bahawa kenyataan tidak bertanggungjawab beliau boleh mencetuskan kekacauan yang tidak perlu di kalangan rakyat,” katanya di Facebook rasminya, hari ini.
King Sing memberikan respons itu terhadap status Rais pada Khamis lalu berhubung program MM2H.
“Tahniah 22,000 rakyat Cina terus jadi penduduk tetap di Malaysia di bawah program MALAYSIA KEDIAMAN KE2 KU.
“Menteri Tiong bangga. 22,000? Itu separuh dari jumlah penduduk Jelebu luak tumpah darah saya. Nampak tak tujuan menteri “pe..acuran” ini?, tulis Rais di Facebook pada 6 Mac lalu.
King Sing berkata, sebagai bekas ahli Kabinet, Rais sepatutnya menyemak kesahihan sesuatu berita atau informasi terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan berbaur perkauman berhubung program MM2H.
“Tindakan seperti Rais Yatim ini pastinya berupaya menghalang potensi dan jenama MM2H di pentas antarabangsa.
“Lebih dikesali ialah retorik yang tidak bertanggungjawab itu boleh menghalang pelabur asing daripada menjalankan perniagaan mereka di Malaysia, menggagalkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan yang berkembang maju,” katanya lagi.
MM2H adalah program yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia yang membolehkan warga asing untuk tinggal di Malaysia untuk jangka masa panjang.
Program ini memberi kemudahan kepada orang asing untuk tinggal, bekerja, dan menikmati kehidupan di Malaysia dengan pelbagai kelebihan seperti visa jangka panjang, kebenaran untuk membawa keluarga, dan kemudahan lain. – MalaysiaGazette
















