Dalam sekelip mata, segalanya boleh berubah. Bayangkan seorang influencer dengan jutaan pengikut, menjana pendapatan lumayan dari kandungan digitalnya, tiba-tiba mendapati akaunnya dinyahaktifkan tanpa amaran. Akses kepada pendapatan terhenti, pengaruh lenyap, dan segala usaha bertahun-tahun musnah begitu sahaja.
Kejadian ini bukan sekadar khabar angin—ia sedang berlaku. Dari TikTok hingga Facebook, semakin ramai pempengaruh menghadapi realiti pahit ini. Bak kata pepatah, “bagai jatuh ditimpa tangga,” bukan sahaja kehilangan pengikut, malah periuk nasi mereka turut terjejas.
Malaysia mempunyai lebih daripada 31 juta pengguna media sosial pada tahun 2023, menjadikannya negara dengan kadar penembusan media sosial ketiga tertinggi di Asia Tenggara.
Purata rakyat Malaysia menggunakan hampir lapan platform media sosial, antara yang tertinggi di Asia. Aktiviti pempengaruh dalam talian juga meningkat sebanyak 16.3%, dengan peningkatan sebanyak $8.3 juta dalam aktiviti pemasaran pempengaruh.
Ini membuktikan bahawa media sosial bukan sekadar hiburan tetapi juga sumber ekonomi utama bagi ramai individu. Di peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara mencapai $200 bilion pada 2022 dan dijangka mencecah $330 bilion menjelang 2025, dengan pempengaruh memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini.
Namun, baru-baru ini, berlaku tindakan keras terhadap akaun TikTok di Malaysia yang melibatkan organisasi media dan pempengaruh. Sekurang-kurangnya 23 akaun media telah diharamkan akibat kesilapan moderasi AI yang berkaitan dengan laporan kes penderaan seksual, dan sehingga Mac 2025, hanya 11 akaun yang telah dipulihkan.
Dalam kalangan pempengaruh, beberapa akaun terkenal turut terjejas, termasuk Mek Yun yang mempunyai 1.4 juta pengikut serta Abe Wee. Walaupun angka sebenar jumlah pempengaruh yang terkesan tidak diperincikan, kes-kes ini mencerminkan kesan besar dasar platform terhadap kelangsungan hidup pempengaruh.
Setiap pengguna platform media sosial terikat dengan terma dan syarat penggunaan yang telah dipersetujui semasa pendaftaran. TikTok, Facebook, dan platform lain mempunyai hak untuk menyekat atau membuang akaun jika didapati melanggar garis panduan komuniti yang mana telah dipersetujui oleh pempengaruh dan pengendali platform sebelum menggunakan platform tersebut.
Dalam banyak kes, penutupan akaun berlaku kerana kandungan yang dianggap tidak sesuai, penyebaran maklumat yang salah, atau pelanggaran hak cipta. Namun, persoalan timbul apabila tindakan ban ini berlaku secara tiba-tiba dan tanpa justifikasi yang jelas, menyebabkan kerugian kepada pempengaruh yang bergantung sepenuhnya kepada platform ini.
Di Malaysia, beberapa undang-undang boleh dikaitkan dengan isu ini. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengawal selia aktiviti digital dan memperuntukkan tindakan terhadap kandungan yang dianggap berbahaya atau menyalahi undang-undang.
Bermula 1 Januari 2025, semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia diwajibkan mendapatkan lesen di bawah akta ini sebagai usaha memerangi jenayah siber dan penyebaran maklumat palsu.
Akta Kontrak 1950 pula memberi gambaran bahawa syarat dan terma perkhidmatan adalah satu bentuk perjanjian yang mengikat antara pengguna dan penyedia platform.
Selain itu, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 turut boleh digunakan untuk menilai sama ada terdapat sebarang penyalahgunaan maklumat pengguna semasa tindakan ban dilaksanakan.
Walaupun undang-undang ini wujud, hakikatnya pengguna sering kali berada di pihak yang lemah kerana keputusan muktamad tetap berada dalam tangan pemilik platform kerana terikat dengan kontrak yang telah dipersetujui dengan pihak pemilik platform.
Bagi pempengaruh yang bergantung kepada platform digital sebagai sumber pendapatan utama, risiko kehilangan akaun bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Selain kehilangan akses kepada pengikut, mereka juga boleh kehilangan dana yang masih belum dikeluarkan daripada akaun monetisasi.
Dalam kes tertentu, pemulihan akaun boleh mengambil masa yang lama atau tidak dapat dilakukan langsung, menyebabkan mereka terpaksa memulakan semula dari awal. Seperti yang dikatakan, “sediakan payung sebelum hujan,” pempengaruh harus mengambil langkah berjaga-jaga sebelum nasi menjadi bubur.
Dalam menghadapi cabaran ini, pempengaruh harus lebih strategik. Antaranya ialah memahami terma dan syarat setiap platform bagi mengelakkan risiko penalti atau ban. Jangan hanya bergantung kepada satu platform sahaja, sebaliknya wujudkan kehadiran di pelbagai media sosial seperti YouTube, Instagram, dan blog peribadi.
Rekod transaksi pendapatan dan komunikasi penting juga perlu disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang isu undang-undang. Dalam urusan penajaan dan kerjasama, kontrak bertulis amat penting supaya ada perlindungan sekiranya akaun tiba-tiba dinyahaktifkan.
Jika merasakan tindakan yang diambil tidak wajar atau menyalahi peraturan, rujuk kepada peguam bagi mendapatkan pandangan profesional agar hak dapat diperjuangkan.
Dalam era digital yang semakin kompleks, pempengaruh perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan akaun dan sumber pendapatan mereka.
Pemasaran melalui pempengaruh terus berkembang dengan perubahan besar dalam undang-undang dan peraturan, termasuk peningkatan kawalan terhadap keaslian dan pematuhan undang-undang tempatan.
Walaupun platform media sosial mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia kandungan, pengguna juga mempunyai hak untuk memastikan mereka diperlakukan secara adil. Bak kata pepatah, “kehilangan itu bukanlah pengakhiran, tetapi satu permulaan baru,” pempengaruh harus bijak menyesuaikan diri dan terus melangkah dengan strategi yang lebih kukuh bagi memastikan kelangsungan karier digital mereka.
Oleh,
Noor Aslinda Abu Seman dan Mohd Asmadi Mohd Angsor
Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia