KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan tindakan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya membuat dakwaan secara terbuka sebelum proses pengesahan selesai adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu siasatan rasmi SPRM.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dakwaan Latheefa bahawa beliau mempunyai versi penuh video yang didakwa perbuatan rasuah melibatkan wakil rakyat Sabah tetap perlu diuji dan disahkan oleh pakar forensik digital sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil.
Menurut beliau, dakwaan bahawa video yang dikemukakan oleh individu bernama Albert itu adalah bukti kukuh tanpa melalui proses verifikasi forensik yang ketat juga adalah tidak berasas.
Ini kerana, ujar beliau, sebarang bahan bukti mestilah diuji untuk memastikan keasliannya dan tidak dimanipulasi bagi kepentingan tertentu.
“SPRM tidak pernah menghentikan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan wakil rakyat Sabah ini, bahkan telah beberapa kali menyeru pemberi maklumat membuat aduan rasmi dengan SPRM.
“Mengikut undang-undang, proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 hanya boleh dimulakan dengan laporan rasmi kepada pihak berkuasa.
“Akan tetapi harus diingati, perlindungan tidak boleh diberikan kepada individu yang terlibat secara langsung dalam kegiatan rasuah, melainkan mereka bertindak secara ‘bona fide’ untuk membongkar jenayah tanpa kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Latheefa baru-baru ini berkenaan 10 video penuh tanpa suntingan berkaitan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, sekali gus menggesa SPRM menjalankan siasatan segera.
Pendedahan Latheefa itu berikutan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut dan video yang ada setakat ini seperti yang disiarkan sebuah portal berita tidak boleh diguna pakai sebagai bahan bukti kerana telah disunting.
Sementara itu, Jais berkata, usaha memerangi rasuah haruslah dilakukan secara adil, berasaskan bukti yang kukuh serta mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang.
Jelasnya, tuduhan tanpa asas yang dibuat melalui media hanya akan menimbulkan kekeliruan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk tidak membuat spekulasi atau menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini.
“Sebarang bukti yang sahih harus diserahkan kepada SPRM mengikut saluran yang betul dan bukannya dijadikan alat untuk kepentingan politik atau peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette