Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Insiden seorang remaja bukan Islam ditampar kerana makan di bulan Ramadan seperti yang tular di dalam media sosial tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, adalah penting untuk umat Islam mengamalkan prinsip tabayun iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Ujar beliau, Islam mengajar umatnya untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook, beliau hari, ini.

Menerusi catatan sama, Mohd Na’im turut berkongsi maksud ayat 6, surah al-Hujarat yang membawa maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.”

Turut dikongsikan beliau hadis riwayat Tirmizi yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Berlaku tenang itu dari Allah, dan tergesa-gesa itu dari syaitan.”

Jelas Mohd Na’im, hadis itu mengingatkan umat Islam yang mana bertindak secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua umat Islam supaya mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.

“Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia, dan penuh dengan nilai kasih sayang, selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” katanya.

Awal hari ini, tular dalam media sosial insiden seorang lelaki menampar lelaki Cina berkali-kali kerana makan di bulan Ramadan yang berlaku di Johor.

Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya sama ada dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.

Mangsa memaklumkan dia ke kedai berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bharu, untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.

“Selepas tanya kalau saya Islam atau bukan Islam dan marah kenapa makan pada masa puasa ni, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya.

“Dia tampar saya beberapa kali pula,” katanya remaja berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here