KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan perkhidmatan permohonan ansuran untuk bayaran baki cukai atau tunggakan cukai secara dalam talian melalui e-Ansuran telah boleh diakses menerusi Portal MyTax mulai 5 Mac 2025.
Inisiatif ini diperkenalkan bagi memudahkan pembayar cukai membuat permohonan ansuran baki cukai atau tunggakan cukai dan mendapatkan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.
Pembayar cukai yang memenuhi kriteria adalah layak untuk memohon perkhidmatan e-Ansuran.
Kriteria-kriteria itu ialah jumlah permohonan melebihi RM300 dan ke atas, bilangan ansuran adalah dua hingga enam kali sahaja, melibatkan ansuran cukai pendapatan sahaja (termasuk sebarang kenaikan, jika berkenaan) dan tidak melibatkan ansuran yang sedang berkuatkuasa.
Menurutnya, pembayar cukai boleh mengakses perkhidmatan e-Ansuran dengan log masuk ke portal MyTax menerusi pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan memilih peranan yang berkaitan (Individu / Pengarah / Wakil Pengarah).
Namun sebarang pembatalan permohonan e-Ansuran hanya boleh dilakukan di pejabat LHDN. – MalaysiaGazette