SEPANG – Pihak luar antaranya penunggang agama serta peguam dinasihatkan agar tidak menjadi jaguh berhubung isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik syarikat Jakel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini rundingan bagi menyelesaikan perkara itu sedang dijalankan dan pihak luar juga diingatkan agar tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat kesejahteraan kaum di negara ini.
“Masalahnya ada penunggang-penunggang agama termasuk peguam-peguam yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan agama Hindu terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri (boleh) merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain.
“Jadi tidak bangkit sama sekali (merobohkan) yang dirundingkan selama bertahun-tahun ini bukan rundingan baru,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, hari ini.
Anwar turut berharap agar perkara itu dapat diselesaikan segera dan isu tersebut tidak diperbesar-besarkan.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka mendapat tapak yang sah dan diiktiraf, mudah-mudahan diselesaikan dengan baik.
“Saya harap tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik,” katanya lagi.
Jelas Anwar, beliau berharap tiada lagi respon-respon yang tidak wajar dikeluarkan termasuk daripada kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Kena kita tangani dengan baik (isu Dewi Sri Pathrakaliamman).
“Masjid akan terus dibina, manakala kuil akan disediakan (tapak lain) dan kalau mereka perlukan bantuan syarikat telah memberi perakuan untuk membantu.
“Tanah itu bukaan tanah kerajaan walaupun asalnya tanah Dewan Bandar Raya (Kuala Lumpur) tapi itu tidak bermakna tanah kerajaan di mana boleh digunakan tanpa kelulusan,” jelas Anwar lagi.
Sebelum ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.
N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata, DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.
DBKL sebelum ini dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.
Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. – MalaysiaGazette