Bekas Setiausaha Kewangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syharir Azfar Saleh.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Kewangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syharir Azfar Saleh menafikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerima dana tunai daripada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

Beliau yang memegang jawatan itu bagi tempoh 2017-2019 berkata, ABIM ketika itu sebaliknya hanya menerima sebanyak 350 kotak bantuan bekalan makanan asas untuk diagihkan kepada fakir miskin, asnaf dan mereka yang kehilangan pekerjaan semasa Covid-19 melanda dunia.

Jelasnya, kotak makanan yang diterima itu telah disiapkan oleh USAID dan Malaysia Reform Initiative (MARI) tanpa penerimaan sebarang tunai serta tanpa syarat tersurat mahupun tersirat.

Kotak makanan yang diterima ABIM daripada USAID dan MARI ketika pandemik Covid-19. – Foto: FB Syahrir Azfar Al-Halabi

“Ia adalah sumbangan in-kind yang USAID dan MARI salurkan kepada ABIM untuk diagihkan kepada masyarakat awam yang terkesan dengan pandemik.

“ABIM juga menguruskan beribu-ribu kotak makanan yang disumbangkan oleh Syarikat Baladna dari Qatar dan mana-mana pihak termasuk sumbangan dari masyarakat semasa pandemik kerana ABIM menerima permohonan untuk mendapatkan bantuan dari mereka yang terkesan dengan sangat banyak,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Jelas Syahrir Azfar, semua kos menghantar bantuan kepada penerima, kos sukarelawan dan kos lain-lain ditanggung sepenuhnya oleh ABIM untuk melunaskan amanah yang diberikan khususnya dalam menyantuni masyarakat yang ketika itu mula menggantungkan bendera putih akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, tegas beliau, sebagai individu yang pernah memegang jawatan utama dalam ABIM, beliau mengakui NGO berkenaan boleh kaya seandainya sanggup menggadaikan prinsip.

Dakwanya, bukan sedikit pihak yang cuba mendanai mahupun menaja ABIM dari pelbagai sudut namun secara tegas ditolak barisan kepimpinan sekiranya mencalar prinsip yang diperjuangkan oleh NGO tersebut.

“Segiur mana pun tawaran yang diberikan, jika ABIM nak kaya, bermewah-mewah, ya, maka ABIM pastinya telah kaya sekarang. Namun hakikatnya jauh sekali.

“Perihal USAID yang dikatakan mendanai ABIM maka tersasar jauh dari apa yang kalian impikan ia terjadi,” katanya.

Pada Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan membekukan sementara dana USAID sementara menunggu semakan dalaman, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia termasuk kira-kira 40 NGO di Malaysia.

USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang dengan dua pertiga dairpadanya berkhidmat di luar AS.

Dana USAID sering ditonjolkan kononnya untuk membantu membangunkan demokrasi dan memperkukuh masyarakat sivil di seluruh dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here