KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025 didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, meskipun terdapat ketidakpastian luaran yang semakin ketara yang boleh menyebabkan perkembangan eksport yang lebih sederhana.
Manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 2% hingga 3.5% dan 1.5% hingga 2.5%.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, inflasi dijangka menunjukkan trend menaik namun akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
Keadaan monetari dan kewangan domestik akan terus menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan mampan.
Permintaan kredit akan didorong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri dan pendapatan yang positif.
“Walaupun terdapat potensi risiko berikutan perkembangan luaran, pasaran kewangan Malaysia dijangka terus berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan keadaan pasaran yang teratur.
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun ketidakpastian masih wujud pada peringkat global, BNM akan terus melaksanakan mandatnya dengan penuh dedikasi dan mengukuhkan kepercayaan rakyat.
Kepelbagaian struktur ekonomi negara dan dasar yang meluas menyediakan daya tahan dan ketangkasan untuk mengharungi rintangan ini.
“Kami yakin ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara keseluruhan. Dengan jangkaan keadaan dalam negeri yang menggalakkan, Malaysia harus meneruskan usaha pembaharuan struktur yang penting demi memastikan pertumbuhan yang mampan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.
Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada tahun 2024 dengan aset berjumlah RM621.54
bilion pada 31 Disember 2024.
Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM13.16 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan 2024 dan RM7.91 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM.
BNM juga telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2024. – MalaysiaGazette
















