KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bukanlah hanya sekadar parti pelengkap dalam Perikatan Nasional (PN) sebaliknya peneraju dalam memperjuangkan demokrasi, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, dalam landskap politik yang semakin mencabar, Gerakan mesti memperluaskan pengaruh, memperkukuhkan strategi dan memastikan parti menjadi satu kuasa yang dihormati dan dipercayai rakyat.
Gerakan tidak boleh menjadi parti bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya, tetapi mesti sentiasa bersama rakyat, mendengar keluhan dan menawarkan penyelesaian yang konkrit.
“Perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN) juga amat penting. Kita perlu memastikan hubungan dengan rakan-rakan dalam PN terus kukuh.
“Jika ada perbezaan pandangan kita duduk semeja, berbincang dan mencari titik persamaan. Politik bukan soal ego tetapi kebijaksanaan dalam membina kesepaduan.
“Jika kita mahu menjadi kerajaan, kita mesti berhenti menunggu peluang, kita mesti mencipta peluang,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Penubuhan Parti Gerakan di Menara PGRM hari ini.
Menurut Dominic lagi, Gerakan sejak awal tidak pernah berpaut kepada politik perkauman atau agenda sempit.
Jelasnya, parti itu berjuang atas dasar keadilan untuk semua rakyat Malaysia, selain menjadi parti yang membawa dasar progresif, memperjuangkan pembangunan ekonomi mampan dan memastikan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.
“Kita tidak akan terjebak dalam permainan politik perpecahan yang hanya melemahkan negara. Tugas kita sekarang adalah membawa mesej ini ke seluruh pelosok negara. Kita mesti memberitahu rakyat bahawa Gerakan bukan sekadar parti politik, tetapi satu perjuangan rakyat yang tulen.
“Kita mesti membuktikan bahawa melalui polisi yang baik dan dasar yang kukuh, semua rakyat akan mendapat manfaat, bukan hanya satu kaum atau satu kumpulan tertentu.
“Oleh itu, setiap ahli Gerakan perlu menjadi jurucakap parti tidak kira apa jawatan anda, anda adalah suara Gerakan di lapangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















