Lelaki yang maut ketika cuba mencuri kabel berdekatan stesen minyak di Lebuhraya Ipoh-Lumut, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala rakannya sempat melarikan diri selepas kejadian letupan ketika cuba mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Silibin Ria, berdekatan stesen minyak di Lebuhraya Ipoh-Lumut, Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai insiden itu pada pukul 6.07 petang.

Menurut beliau, seorang saksi yang melihat kejadian sempat merakam video menunjukkan dua lelaki sedang memotong kabel TNB yang dipercayai bertujuan mencuri.

“Tiba-tiba, berlaku letupan yang menyebabkan kedua-dua lelaki tersebut pengsan.

“Salah seorang daripada mereka kemudian sedar dan segera melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda C100,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang lagi lelaki disahkan maut di lokasi kejadian, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihak TNB telah membuat laporan polis, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Hasil semakan rekod mendapati lelaki yang maut mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kekerasan dan harta benda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Sarjan Liyana Zulaikah Ibrahim, di talian 019-7765184. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast