Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengedarkan cenderamata kepada pengguna jalan raya ketika hadir ke Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 Peringkat IPD Klang Utara di Plaza Tol Bukit Raja, Klang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 26 MAC 2025

KLANG – Empat buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor melaksanakan Operasi Empat Penjuru bagi membanteras jenayah bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata operasi yang akan dijalankan selama dua minggu itu melibatkan IPD Klang Utara, Klang Selatan, Shah Alam dan Kuala Langat sehingga 6 April depan.

Jelas beliau, empat IPD tersebut bergabung dalam mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dalam mengehadkan pergerakan penjenayah sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah di IPD masing-masing.

“Tujuan untuk pencegahan jenayah sebab kalau fokus satu IPD sahaja, penjenayah akan bebas gerak.

“Dia (penjenayah) buat di IPD Klang Utara akan lari ke Klang Selatan atau Shah Alam dan Kuala Langat. Semuanya bersempadan dan wajar dilaksanakan dalam empat penjuru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat IPD Klang Utara di Plaza Tol Bukit Raya, hari ini.

Katanya, IPD Klang Utara akan menjalankan empat SJR di kawasan yang terpilih selama 24 jam sehari sepanjang operasi berlangsung.

Selain itu tambah Vijaya, konsep ‘snap check’ dilaksanakan di lokasi yang dikenal pasti menjadi penyumbang jenayah kekerasan dan harta benda.

“Kita ada sasaran, buat tangkapan dan dokumentasi serta sebagainya. Ini bermakna Jabatan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan terlibat bersama-sama.

“Setiap tahun sempena Aidilfitri ada Op Pencegahan Jenayah namun kali ini kita lebih berfokus melibatkan empat jabatan itu,”ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Op Cantas juga dilakukan sebagai usaha mengesan suspek-suspek terlibat dalam kongsi gelap.

Terdahulu katanya, indeks jenayah bagi daerah Klang Utara menurun 14 peratus bagi tempoh Januari hingga Febuari tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast