NEW DELHI – Seorang lelaki di Uttar Pradesh sanggup bersekongkol dengan rakannya untuk membunuh isterinya demi menjalin cinta dengan adik ipar.
Suspek, Ankit Kumar, dipercayai merancang satu kemalangan bagi mengorbankan isterinya, Kiran, 30, selepas gagal memujuk adik iparnya untuk berkahwin dengannya.
Menurut Ketua Polis Bijnor, Bharat Sonkar, siasatan mendapati Ankit telah berpakat dengan rakannya, Sachin Kumar, untuk melanggar Kiran menggunakan sebuah kereta.
Pada 8 Mac lalu, Ankit membuat laporan polis mendakwa isterinya maut dalam kemalangan jalan raya ketika mereka dalam perjalanan pulang dari rumah mentuanya.
“Ankit mendakwa Kiran menjadi mangsa langgar lari ketika dia meninggalkan wanita itu di tepi jalan bagi mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak.
“Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendedahkan pembohongan Ankit apabila kereta yang melanggar Kiran dikenal pasti milik Sachin,” katanya.
Difahamkan bahawa Ankit telah berkahwin selama lima tahun tetapi masih tidak dikurniakan anak.
Dia pernah melamar adik iparnya, namun ditolak kerana sudah berkahwin dengan kakaknya.
“Oleh sebab itu, dia merancang pembunuhan ini,” tambahnya. – Agensi
















