KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) diharapkan tidak melupakan atau meminggirkan dua agenda besar yang perlu dibangunkan dalam diri semua murid iaitu penghayatan kepada Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, dua agenda besar itu sepatutnya digerakkan oleh KPM di semua sekolah sama ada sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan, sekolah agama, persendirian, swasta dan sekolah antarabangsa yang majoriti adalah murid warganegara Malaysia.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah, semua murid wajib menghormati, memahami dan menghayati Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
“Jadi, jangan berhenti setakat letak lencana Jalur Gemilang di uniform sekolah sahaja. Mesti bangunkan juga agenda dan program untuk membina penghayatan murid menerima Perlembagaan Malaysia dan Rukan Negara.
“Misalnya, Perkara 152 meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka wajib bagi setiap murid warga negara Malaysia menguasai bahasa kebangsaan negara ini.
“Pada masa yang sama, mereka berhak untuk belajar dan mengamalkan bahasa ibunda masing-masing. Perlembagaan negara telah menetapkan begitu,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
KPM sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April 2025 secara berperingkat.
Sehubungan itu, KPM akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.
Sementara itu, Anuar meraikan usaha KPM mewajibkan lencana Jalur Gemilang pada uniform pelajar yang disifatkan beliau satu usaha ‘segera’ untuk membina rasa sayang dan cintakan negara dalam kalangan murid.
Jelas beliau, usaha itu disifatkan bagus sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan tata cara yang benar-benar menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang negara.
“Baguslah bila sudah ada usaha oleh KPM untuk membina rasa sayang dan cintakan negara dalam kalangan murid-murid.
“Harapnya jangan berhenti setakat wajibkan lencana Jalur Gemilang sahaja. Mestilah diwajibkan juga program penghayatan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara pada semua murid di negara ini.
“Kukuhkan ilmu sejarah dan kenegaraan dalam diri semua murid. Itu menjadi tanggungjawab KPM,” katanya. – MalaysiaGazette
















