Menara Felda Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 04 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan segera memberi tumpuan kepada proses memperincikan pelan tindakan berdasarkan data dan kajian sedia ada serta mengambil input daripada kepimpinan dalamannya sebagaimana penegasan Perdana Menteri, semalam.

Menurut Felda, ia termasuk kepimpinan negara, pakar sektor perladangan, pakar ekonomi dan pihak yang berkepentingan bagi memperhalusi semua inisiatif yang mampu membawa lonjakan besar sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar khususnya dalam sektor perladangan dan pembangunan komuniti.

Pendekatan inklusif itu katanya, akan memastikan setiap dasar yang dirangka bakal memberi ledakan kebaikan yang memberikan perubahan yang signifikan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memperkasa peneroka dan komuniti, Felda sedang merangka hala tuju baharu yang bakal memberi impak bukan sahaja kepada warga peneroka, tetapi juga kepada negara.

“Hala tuju ini akan dikemukakan dalam tempoh sebulan seperti yang diminta oleh YAB Perdana Menteri dengan matlamat untuk memastikan kebolehupayaan Felda dalam menghadapi cabaran masa depan serta memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor agribisnes negara,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh selama sebulan kepada pengurusan Felda untuk mengemukakan pelan hala tuju dan pendekatan baharu bagi agensi berkenaan.

Beliau menegaskan, pelan itu bertujuan mengangkat martabat Felda serta semua agensi dan anak syarikatnya yang memerlukan lonjakan untuk berada di landasan ampuh.

Katanya, pelan terbabit juga akan menjadi persediaan berdepan kemungkinan keadaan lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun unjuran permintaan sawit ketika ini berada pada tahap lebih baik.

Sementara itu Felda berkata, semua itu akan segera dilaksanakan selepas Aidifitri dengan tumpuan diberi kepada proses memperincikan pelan tindakan berdasarkan data dan kajian sedia ada.

Katanya, pendekatan inklusif itu akan memastikan setiap dasar
yang dirangka bakal memberi ledakan kebaikan yang memberikan perubahan yang signifikan.

“Felda yakin dengan sokongan padu daripada kerajaan serta kolaborasi erat antara pihak berkepentingan akan mampu merealisasikan visi untuk memperkasakan peneroka dan terus memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

PM beri tempoh sebulan Felda kemuka pelan, hala tuju baharu

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast