Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Prihatin ke atas apa yang berlaku kepada peniaga belon yang mendakwa dikasari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini, Jumaat lalu, kerajaan negeri Pahang akan menghulurkan bantuan kepada individu berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah mengarahkan Sekretariat Perantau Anak Pahang memberi bantuan yang sesuai dengan keperluan peniaga.

“Saya difahamkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan dari pihak berkuasa.

“Dalam pada masa yang sama, titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar penjaja dan Pihak Berkuasa Tempatan harus memahami tanggungjawab masing-masing wajar kita hayati dan fahami, agar insiden seperti ini dapat dielak pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumbangan disampaikan Wanita UMNO dari Bahagian Jerantut ketika membuat lawatan terhadap mangsa di Hospital Serdang.

Kejadian pada Jumaat lalu tular menerusi satu video berdurasi 1 minit 42 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook.

Video itu memaparkan kekecohan antara penjaja belon dan anggota penguat kuasa DBKL ketika proses penyitaan barangan di tepi jalan berkenaan dilakukan.

Semasa proses penyitaan dijalankan, berlaku pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dan penjaja terbabit selain beberapa penjaja lain yang turut membuat provokasi.

Sementara itu, DBKL memaklumkan pihaknya merehatkan tiga anggota penguat kuasanya yang terlibat dalam insiden kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu.

Tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, keputusan ini turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here