Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan pemakaian kamera badan oleh semua pasukan beruniform, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penggunaan teknologi ini bukan sahaja mampu meningkatkan ketelusan dalam penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga dapat melindungi hak rakyat serta integriti penguatkuasa itu sendiri, kata Setiausaha Agung Rural Malaysia, M.S. Anuar Mahmod.

Menurutnya, dalam beberapa insiden yang tular di media sosial, kita sering melihat bagaimana naratif sesuatu kejadian berubah mengikut sudut rakaman yang berbeza.

Hari ini, seorang anggota penguatkuasa dikecam hebat kerana satu klip video pendek yang dimuat naik.

Keesokan harinya, muncul pula video lain yang menunjukkan konteks sebenar, dan individu yang sama mendapat pujian.

“Keadaan ini bukan sahaja membebankan pihak penguat kuasa, tetapi juga menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, di era digital ini, media sosial menjadi medan perdebatan tanpa sempadan dan malangnya, ramai warga maya terlalu mudah membuat kesimpulan tanpa fakta lengkap.

Akibatnya, perbincangan sering diheret dengan sentimen perkauman, keagamaan, dan politik, sehingga menjejaskan fokus utama iaitu keadilan dan ketelusan.

Menurut beliau, negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia telah lama menggunakan kamera badan dalam operasi harian pasukan penguatkuasa mereka.

Oleh itu, bukti rakaman ini bukan sahaja dapat dijadikan rujukan dalam siasatan dalaman, malah ia juga berfungsi sebagai mekanisme akauntabiliti yang lebih kukuh.

“Dengan adanya kamera badan, setiap interaksi antara penguatkuasa dan orang awam dapat direkodkan dengan lebih objektif, mengurangkan risiko salah faham serta dakwaan yang tidak berasas.

“Selain itu, bukti rakaman kamera badan telah terbukti memainkan peranan penting dalam kes-kes mahkamah, yang mana ia digunakan untuk menilai fakta dengan lebih adil dan memastikan keputusan kehakiman berdasarkan bukti yang kukuh dan tidak berat sebelah,” ujarnya.

Anuar menegaskan bahawa langkah ini perlu disokong dengan dasar dan garis panduan yang jelas. Antara aspek penting yang harus dipertimbangkan termasuk prosedur penggunaan, penyimpanan data rakaman, serta perlindungan privasi individu yang terlibat.

“Kami percaya bahawa Malaysia tidak boleh terus ketinggalan dalam memastikan sistem penguatkuasaan yang telus dan berintegriti. Justeru, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan kajian menyeluruh dan mengambil tindakan proaktif dalam merealisasikan pemakaian kamera badan dalam kalangan pasukan beruniform di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast