KUALA LUMPUR – Calon Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pelantikan calon itu telah diputuskan serta sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Calon duta AS akan diumumkan dalam masa singkat, segera…sudah ada keputusan dan Agong juga sudah perkenan, akan diumumkan.
“Ia kena ikut proses, saya tidak boleh umumkan sebelum Agong perkenan…kena tanda tangan, kita ikut proses…boleh bersabar sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saujan Prima, Kajang di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai pengganti Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan bagi tempoh dua tahun sebagai Duta Besar Malaysia ke AS.
Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS pada 9 Februari 2023, yang mana menurut kenyataan Kementerian Luar pemilihan itu berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan sebagai calon Duta Besar Malaysia ke AS itu antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menafikan perkara tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai laporan media antarabangsa, Bloomberg berkenaan perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilanjutkan, Anwar hanya berkata: “Bila ada keputusan, saya umumkan.”
Laporan itu sebelum ini memetik sumber yang mana Azam akan menerima lanjutan enam bulan lagi apabila tempoh perkhidmatannya tamat bulan depan. – MalaysiaGazette
















