PUCHONG – Selain penduduk Putra Height diberi bantuan berikutan terjeas akibat kebakaran paip gas, kebajikan haiwan peliharaan dan terbiar turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan.
Pengurus Besar Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Kelvin Cheah berkata, berdasarkan aduan pemilik, sejak hari pertama kejadian pada Selasa lalu, pihaknya telah menyelamatkan lebih 30 ekor kucing, lima ekor anjing dan dua ekor ular.
“Fokus kami adalah haiwan yang terperangkap dan memerlukan rawatan segera. Ada haiwan ditemui masih sihat, ada juga yang sudah mati akibat letupan.
“Hari pertama berlalu dengan proses kami dapatkan laporan daripada pemilik haiwan yang memaklumkan haiwan peliharaan mereka masih terperangkap.
“Hari kedua, kami mulakan operasi menyelamat haiwan-haiwan yang berada dalam keadaan kritikal untuk rawatan segera,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Selain SPCA Selangor, mesi tersebut turut disertai Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dan badan sukarela, Charity Hunter.
Menurut Kelvin, pada hari ketiga operasi, pasukannya menghadapi cabaran berhubung permit dan proses pelepasan masuk ke kawasan terjejas.
Namun katanya, usaha menyelamat tetap diteruskan dengan pemeriksaan rumah ke rumah dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima.
“Keutamaan kami adalah untuk memberikan rawatan kepada haiwan yang ditemui serta memastikan mereka diberi makan, terutama haiwan yang berjaya meloloskan diri tetapi masih berkeliaran,” ujarnya.
Mengulas keadaan haiwan yang ditemui, Kelvin berkata, terdapat dua keadaan ekstrem, sama ada haiwan masih sihat tanpa kecederaan tetapi mengalami dehidrasi teruk atau haiwan yang telah mati akibat kebakaran dan letupan yang berlaku.
“Dalam masa dua jam pertama pada hari pertama operasi, kami menemui dua ekor haiwan yang sudah mati. Dijangkakan terdapat lebih 100 haiwan di kawasan itu, namun sebahagiannya mungkin tertimbus atau belum ditemui,” ujarnya.
Sementara itu, aktivis Persatuan Haiwan Malaysia, Fatimah Zaharah Rahim sanggup tidak beraya bagi menawarkan bantuan di lokasi.

“Saya terima aduan lebih 60 kucing masih belum diselamatkan. Ada warga emas pelihara 29 ekor kucing, tapi rumahnya rosak teruk.
“Kita mohon sangat-sangat kepada pihak bomba dan polis beri sedikit kelonggaran kepada pemilik untuk bantu keluarkan haiwan mereka dan kita sedia bantu pada bila-bila masa,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden SAFM, R Kalaivanan memberitahu, pihaknya telah membuka klinik veterinar sementara dan telah menyelamatkan lebih 25 ekor haiwan sejak dua hari lalu.
“Kami bergerak ikut laporan dari pemilik. Jika jumpa haiwan terbiar yang sakit, kami rawat dan cuba cari pemilik. Kami patuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Ketiga-tiga pencinta haiwan ini menyeru pemilik haiwan yang terkesan agar membuat laporan supaya bantuan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Selain itu, kuil Sri Maha Kaliamman yang sebelum ini menjadi lokasi mangsa kebakaran paip gas menerima rawatan kini menjadi tempat pengumpulan haiwan yang terjejas untuk diberikan rawatan. – MalaysiaGazette















