KUALA LUMPUR – Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) bertindak pantas menyumbangkan bantuan RM100,000 kepada mangsa yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.
Tindakan pantas itu menyalurkan bantuan kewangan segera itu selaras dengan seruan kerajaan supaya mangsa-mangsa yang memerlukan itu diberi bantuan secepat mungkin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, Takaful Malaysia menzahirkan keprihatinan dan solidariti kepada mangsa insiden yang terjejas dan mengharungi kesukaran akibat tragedi ini.
“Sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, kami komited untuk meringankan beban mangsa yang terjejas dan membantu mereka menghadapi masa yang mencabar ini.
“Sumbangan segera ini bertujuan memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya hari ini.

Menurut Nor Azman, Takaful Malaysia juga komited untuk membantu pelanggan dengan mempercepatkan proses tuntutan tanpa memerlukan laporan polis bagi pelanggan yang layak untuk memastikan mereka menerima bantuan yang diperlukan tanpa sebarang kelewatan.
Beliau berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh pelanggan dan menjadi tanggungjawab Takaful Malaysia sebagai penyedia perlindungan takaful untuk membantu dan memudahkan urusan tuntutan mereka.
“Komitmen ini membuktikan kami sentiasa bersama pelanggan ketika mereka memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata, Takaful Malaysia berpendirian teguh dalam misi untuk membantu mangsa yang terlibat dalam insiden yang telah menjejaskan penduduk di kawasan terlibat.
Melalui cabang takaful amnya, Takaful Malaysia mempercepatkan proses tuntutan untuk pemegang sijil yang terjejas akibat kejadian ini bagi memastikan mereka menerima sokongan yang diperlukan dengan segera.

Takaful Malaysia juga, kata Nor Azman menyediakan talian bantuan tuntutan khas bagi mempercepatkan proses penyelesaian tuntutan demi kemudahan pelanggan.
Bagi tuntutan bukan motor, pelanggan boleh menghubungi 012-927 1686 atau 017-328 3543, manakala untuk tuntutan motor, pelanggan boleh menghubungi talian 1800-888-788 untuk bantuan segera atau nombor alternatif 016-354 1991 atau 019-629 2680.
“Kami berharap semua pihak akan terus mendoakan mangsa yang terjejas, serta memberi sokongan kepada mereka yang memberikan bantuan.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, kami sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha kemanusiaan dengan memberikan bantuan segera semasa krisis.
“Inisiatif segera ini membuktikan komitmen kami yang tidak berbelah bagi untuk kesejahteraan komuniti,” kata Nor Azman.
Insiden kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang tinggi dan menghasilkan bahang panas serta debu yang memusnahkan deretan kediaman selain harta benda termasuk lebih 300 kenderaan.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan penuh dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. – MalaysiaGazette
















