Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mempercepatkan inisiatif penyelesaian mata wang tempatan atau Local Currency Settlement (LCS) dengan rakan dagang Asia untuk mengelak risiko pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).

Pemerhati ekonomi, Dr. Razli Ramli berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah segera boleh diambil dalam mendepani kesan ekoran tindakan AS mengenakan tarif timbali balik sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia.

Dalam masa sama, beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam berkata, kerajaan juga perlu menolak tekanan unilateral AS itu secara diplomatik dan menyeru kepada kerjasama perdagangan yang lebih adil.

Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli.

Sebagai persediaan jangka panjang, tambah beliau, Malaysia boleh menyeru kepada solidariti serantau khususnya di peringkat ASEAN dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk membentuk blok tawar-menawar kolektif, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap AS.

“Diplomasi ekonomi perlu agresif termasuk mengukuhkan hubungan sedia ada dengan China, India dan Asia Barat sambil mempromosikan produk bernilai tinggi negara seperti biodiesel sawit dan semikonduktor untuk mengimbangi kerugian eksport ke AS,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Presiden AS, Donald Trump sempena Liberation Day minggu lalu mengumumkan tarif baharu yang mana Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport ke AS.

Ia merupakan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain.

Sementara itu, Razli menambah, bagi mengawal kesan inflasi dan kelemahan ringgit ekoran langkah AS tersebut, kerajaan wajib menstabilkan harga barang utama melalui kawalan stok makanan atau tenaga dan memperkukuh rizab mata wang.

Beliau turut berpandangan kerajaan wajar menekankan pembangunan keupayaan industri tempatan melalui program latihan vokasional seperti STEM da Industri 4.0 serta menggalakkan keusahawanan Bumiputera dalam rantaian global.

Pada peringkat industri pula, jelasnya, sokongan kewangan seperti insentif cukai serta subsidi penyelidikan dan pembangunan (R&D) harus diberikan kepada syarikat terjejas bagi meningkatkan automasi dan inovasi produk.

Dalam masa sama, sektor pertanian seperti sawit dan getah perlu dirombak ke arah hiliran seperti biofuel atau farmaseutikal untuk mengelak tarif `barangan mentah’.

“Krisis ini seharusnya dijadikan momentum untuk reset ekonomi Malaysia ke arah trade resilience, mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana satu pasaran sambil menjadikan ASEAN sebagai teras pertumbuhan masa hadapan.

“Langkah ini bukan sahaja dapat melindungi ekonomi negara, tetapi menjelmakan semangat `Malaysia Boleh’ dalam menghadapi cabaran global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here