KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar keras pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah pada Program Sentuhan Kasih 3.0 di Pasar Awam Tapah Road, semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang kini sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) merupakan salah satu DUN yang berada di dalam Parlimen Tapah.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini berkata, penggunaan kedudukan Menteri untuk menyalurkan projek dan dana kerajaan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya merupakan satu bentuk penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil.
Menurutnya, tindakan itu yang telah lama menjadi amalan politik merupakan antara tingkah laku yang pernah dikecam hebat oleh pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Madani semasa mereka berada di pihak pembangkang.
“Walaupun pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur merupakan keperluan yang sah, pengumuman berskala besar ini dilakukan dalam konteks kempen pilihan raya dan memberi kelebihan tidak adil kepada parti kerajaan,” katanya.
Tambahnya, pengumuman peruntukan ketika tempoh kempen pilihan raya bukan sahaja memberi persepsi pembelian undi secara terselindung, malah mencemarkan prinsip demokrasi yang sepatutnya menjamin persaingan politik yang adil dan bersih.
Tegasnya lagi, rakyat berhak membuat pilihan berdasarkan dasar, integriti dan rekod perkhidmatan, bukan berdasarkan janji projek dan peruntukan yang secara tiba-tiba turun menjelang tempoh pilihan raya.
“Malangnya, ini bukan kes terpencil. Bersih melihat siri pelanggaran berterusan terhadap etika pilihan raya yang bersih dan adil oleh Kerajaan Madani, khususnya KPKT dalam beberapa pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, amalan seperti pengumuman projek semasa kempen dan penggunaan sumber kerajaan untuk tujuan kempen telah menjadi corak yang berulang.
Sekiranya dibiarkan, katanya, ia bukan sahaja mencemarkan proses pilihan raya, tetapi turut menghakis keyakinan awam terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi negara secara keseluruhan.
“PRK Ayer Kuning akan menjadi ujian penting terhadap komitmen kerajaan hari ini kepada reformasi politik dan integriti pilihan raya.
“Sekiranya budaya patronage terus dibiarkan, cita-cita membina politik baharu yang bersih dan matang akan kekal menjadi retorik semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette