Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 80 lori tangki dan 182 tangki air akan digerakkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula 25 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, pelan bantuan bekalan air (WRP) PBAPP akan dilaksanakan dalam tiga fasa sepanjang tempoh gangguan bermula dari 25 hingga 28 April ini.

“Fasa satu bermula dari 10 malam 25 April hingga 10 malam 26 April dengan kesemua lori tangki dan 182 tangki air digerakkan ke kawasan Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD) dalam tempoh 24 jam pertama.

“Bagi fasa kedua pula, berlangsung dari 10 malam 26 April hingga 10 malam 27 April melibatkan pengurangan kepada 125 tangki air, tertumpu di SPS dan DBD selepas 40 peratus pemulihan bekalan air dicapai.

“Manakala fasa ketiga, dijadual dari 10 malam 27 April hingga 10 pagi 28 April, dengan 120 tangki air digerakkan ke kawasan hujung paip agihan dan tanah tinggi selepas 88 peratus pemulihan dicapai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambaha Pathmanathan, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pagi 28 April dan pengguna di SPU, SPT dan DTL dijangka menerima semula bekalan dalam tempoh 24 jam, manakala SPS dan DBD dalam 48 hingga 60 jam.

“Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air mencukupi bergantung kepada tempoh gangguan di kawasan masing-masing,” katanya.

SWSI dijadual bermula jam 10 malam pada 25 April itu susulan henti tugas separa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh negeri.

Gangguan ini akan memberi kesan kepada 341,708 pengguna air di seluruh Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast