KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Badan Peguam Malaysia membayar ganti rugi RM340,000 kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana melanggar kewajipan berkanun berkaitan kes liwat II.
Pelanggaran itu dilakukan dengan membenarkan usul mengenai kelakuan peguam tersebut selaku timbalan pendakwa raya ad-hoc dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dibahaskan pada Mesyuarat Agung tahunan (AGM).
Pada prosiding taksiran ganti rugi hari ini, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memberikan amaun RM200,000 untuk kerosakan, RM100,000 untuk kehilangan peluang profesional, RM20,000 untuk tekanan mental berkaitan kesihatan serta RM20,000 sebagai ganti rugi teruk.
“Jumlah keseluruhan RM340,000 ini mewakili jumlah ganti rugi yang adil, munasabah dan berkadar bagi pelanggaran yang dilakukan,” kata hakim berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui wakil media sejurus keputusan diumumkan berkata, beliau akan menyalurkan wang ganti rugi itu untuk urusan kebajikan.
Ujar beliau antara yang boleh dibantu termasuk kanak-kanak atau peguam yang tidak berkemampuan.
“Anda pasti terkejut kerana ada peguam yang tidak sihat malah tidak mampu untuk membayar bil hospital mereka,” katanya.
Muhammad Shafee berhak mendapat ganti rugi tersebut selepas Mahkamah Persekutuan pada 2021 memutuskan Badan Peguam bertindak menyalahi undang-undang dengan membenarkan usul mempertikai peguam itu sebelum merujuk perkara tersebut kepada Lembaga Tatatertib.
Usul itu dibuat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang ketika itu seorang peguam, disokong oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George pada Februari 2015.
Tommy memfailkan usul itu berikutan jerayawara yang dibuat Muhammad Shafee untuk membincangkan sabitan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam mengiklankan diri.
Berikutan itu, pada Mac 2015, Muhammad Shafee menyaman ketiga-tiga pihak dan mendakwa Tommy menerbit dan mengemukakan usul pada 28 Februari 2015 untuk dibahaskan dalam AGM Majlis Peguam ke-69.
Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee dan peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober 2018 yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam serta memerintahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi. – MalaysiaGazette















