KUALA LUMPUR – DAP Sabah belum mengadakan perbincangan rasmi dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri-17 (PRN-17).
Bagaimanapun, Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa.
Jelasnya, DAP Sabah melihat perkara itu selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menjamin kestabilan politik sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.
“DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Semalam, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN-17 Sabah akan datang.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan bagi menjawab persoalan banyak pihak berhubung dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama dalam PRN kali ini.
Tambah Jin Zhe, kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah, bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.
Sehubungan itu, katanya, DAP Sabah bersedia berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.
Jelas beliau, DAP Sabah kekal berpendirian kestabilan politik selepas PRN-17 amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.
“Pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette
















