Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada sidang media selepas hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri JIM di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 14 APRIL 2025

PUTRAJAYA — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menerima sebanyak 102 permohonan bagi Pas Pelabur sejak inisiatif itu dikuatkuasakan pada 1 April lalu.

Bagaimanapun hanya satu permohonan sahaja telah disokong sepenuhnya setakat ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Pas Pelabur merupakan satu kemudahan baharu  diperkenalkan bagi membolehkan pelabur asing dan pelawat perniagaan menetap di Malaysia selama enam bulan dengan pilihan lanjutan selama enam bulan lagi sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Daripada keseluruhan permohonan yang diterima, 30 telah ditolak kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen lengkap atau pemilihan kategori yang tidak tepat.

“Bagaimanapun permohonan yang ditolak itu tidak dianggap muktamad kerana pemohon masih berpeluang mengemukakan semula permohonan setelah semua syarat dipenuhi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya JIM di ibu pejabat di sini hari ini.

“Sementara itu, empat lagi permohonan kini berada dalam peringkat verifikasi manakala 67 permohonan lain masih dalam bentuk draf di dalam sistem dan belum dihantar secara rasmi.

“Walaupun permohonan itu telah dimulakan dalam sistem, ia masih belum dianggap lengkap kerana pemohon belum menekan butang submit,” tambahnya.

Permohonan bagi Pas Pelabur dikendalikan menerusi sistem digital Single Window Gateway yang dikawal selia oleh TalentCorp.

Melalui platform itu, semua permohonan akan melalui satu saluran berpusat yang membabitkan semakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum diproses untuk kelulusan oleh Jabatan Imigresen.

Tempoh kelulusan dijangka mengambil masa sekitar lima hari bekerja selepas semua dokumen lengkap dikemukakan iaitu tiga hari bagi pihak MIDA dan dua hari di pihak Imigresen.

“Sebelum ini, pelabur asing yang datang ke Malaysia biasanya diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atas dasar budi bicara.

“Namun disebabkan peningkatan permintaan dan keperluan untuk satu dasar yang lebih jelas, kerajaan mengambil keputusan untuk memperkenalkan kategori khusus ini bagi menyokong kemasukan pelabur luar secara lebih teratur dan efisien,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan sokongan penuh Jabatan Imigresen terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung usaha memperkemaskan laluan sah perdagangan antara negara-negara ASEAN.

Zakaria juga menegaskan pihaknya akan terus memainkan peranan dalam memudahcara kemasukan pelabur asing ke Malaysia melalui sokongan dasar dan penyediaan laluan imigresen yang sesuai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast