KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bermula pukul 10 pagi ini di Masjid Negara hari ini.
Menantu kepada Allahyarham Tun Abdullah, Khairy Jamaluddin berkata, penghormatan terakhir itu diawalkan daripada waktu ditetapkan pada pukul 11 pagi kerana semua urusan pengurusan jenazah telah selesai dilaksanakan.
“Alhamdulilah, pengurusan jenazah sudah selesai, persiapan pihak Masjid Negara juga sudah siap untuk kita melaksanakan Istiadat Pengebumian Negara, jadi sebab itu kita bersetuju awalkan untuk orang ramai hadir ke sini bagi penghormatan terakhir.
“Waktu diawalkan namun ia akan tetap berakhir pukul 1 tengah hari sebelum kita beri laluan untuk Solat Zuhor diikut solat jenazah sebelum Tun Abdullah dikebumikan sebentar sahaja lagi,” katanya dalam sidang media secara ringkas di sini hari ini.
Khairy juga memaklumkan, jenazah telah dibawa keluar dari kediamannya di Bait Badawi, Persiaran Tuanku Jaafar sekitar pukul 8.10 pagi tadi dan tiba Masjid Negara pada pukul 8.30 pagi.
Terdahulu, Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi. – MalaysiaGazette
















