KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas setiausaha sebuah persatuan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan peruntukan khas berjumlah kira-kira RM85,000 daripada Ketua Menteri Sabah.
Peruntukan itu dipercayai untuk pembinaan bangunan pejabat pentadbiran persatuan di sebuah daerah di negeri ini yang juga merupakan tempat suspek bertugas.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
“Suspek yang juga seorang guru besar disyaki mengemukakan dokumen palsu dalam permohonan peruntukan khas pembinaan bangunan pentadbiran persatuan yang diterajuinya.
“Suspek kini digantung tugas dan sebelum ini pernah berdepan lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 21 Mei 2024 mengikut Seksyen 471 dan Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan. Kes tersebut masih dalam perbicaraan,” katanya.
Difahamkan, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu untuk pertuduhan baharu pada esok pagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette.















