FLORIDA – Penumpang dalam penerbangan Delta Air Lines terpaksa dikeluarkan menggunakan gelongsor kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando di Florida, selepas enjin terbakar ketika pesawat itu sedang bersedia untuk berlepas, lapor NBC News.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Penerbangan 1213 sedang berpatah balik dari pintu pagar kira-kira jam 11.15 pagi waktu tempatan (1515GMT) apabila api terpercik keluar di bahagian paip salah satu enjin.
Pesawat Airbus A330 itu dijadualkan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta.
Delta Air Lines mengesahkan pesawat itu berada pada kapasiti penuh, membawa 282 penumpang, 10 anak kapal dan dua juruterbang.
Semua penumpang telah selamat dipindahkan menggunakan gelongsor, dan tiada kecederaan dilaporkan.
Rakaman video yang dikongsi penumpang di media sosial menunjukkan asap dan kerosakan yang boleh dilihat pada salah satu sayap.
Audio kawalan trafik udara, yang dirakam oleh Broadcastify, menangkap pengawal yang menyatakan: “Kami sedang memanggil trak bomba sekarang, kami melihatnya”.
Delta berkata, pasukan penyelenggaraannya akan menjalankan pemeriksaan penuh ke atas pesawat itu untuk menentukan punca kebakaran.
FAA telah melancarkan siasatan rasmi.
“Tiada yang lebih penting daripada keselamatan. Kami menghargai kerjasama pelanggan kami dan memohon maaf atas pengalaman itu,” kata Delta dalam satu kenyataan. – Agensi
















