KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pengambilan tanah di Wilayah Persekutuan bukan di bawah bidang kuasa menteri, sebaliknya dilakukan menerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dakwaan kononnya Menteri Wilayah Persekutuan termasuk beliau sendiri sebelum ini mempunyai kuasa tersebut tidak benar kerana KSN berada di bawah Perdana Menteri.
“Sudah banyak kali diterangkan, tapi orang masih tak berapa faham, tanah Wilayah Persekutuan terletak di bawah Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan KSN yang duduk di bawah Perdana Menteri.
“Pengambilan tanah dan sebagainya, dia buat terus, penjualan tanah Wilayah Persekutuan ini banyak dibuat dan dijual kepada swasta, semua duit itu pergi ke Kerajaan Persekutuan dan semuanya dipengerusikan oleh KSN.
“Menteri Wilayah (hanya) terlibat dengan pembangunan, maknanya setelah tanah itu dimiliki oleh swasta, kemudian pembangunan nak dimulakan, maka kita terlibat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Shahidan berkata demikian ketika mengulas kontroversi pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.
Isu berkenaan kembali panas setelah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan sewajarnya pihak terlibat dalam pengambilan tanah tersebut sewaktu pentadbiran Perikatan Nasional tampil untuk memberi penjelasan.
Ketika ditanya tentang harga pampasan ketika pentadbirannya, beliau memaklumkan rundingan yang melibatkan beliau hanya membabitkan rumah pangsapuri sahaja.
“Saya yang tangguhkan itu setahun, sayalah orang yang membuat temujanji, melibatkan rumah pangsa dan rumah teres.
“Saya terlibat perundingan di peringkat rumah teres, rumah pangsa telah dirundingkan sebelum itu, saya tak dapat maklumat itu.
“Saya diberitahu sebahagian mereka telah dipindahkan ke Kampung Kerinchi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















