KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengambil bahagian dalam Sesi Pendengaran Awam prosiding Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai Palestin di The Hague, Belanda, yang akan bermula 28 April ini.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, prosiding itu adalah mengenai Kewajipan Israel berhubung dengan Kehadiran dan Aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Antarabangsa lain, dan Negara Ketiga dalam dan berhubung dengan Wilayah Palestin yang Diduduki.
Katanya, delgasi Malaysia akan diketuai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau akan diiringi Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Luar Negeri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Kedutaan Besar Malaysia di The Hague.
Azalina dijadualkan untuk menyampaikan Kenyataan Negara pada jam 11.00 malam 28 April 2025, waktu Malaysia.
“Pendapat Nasihat ini adalah ekoran Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 79/232 yang telah diluluskan pada 19 Disember 2024. Malaysia telah menaja bersama dan mengundi menyokong Resolusi tersebut, selaku Ahli Kumpulan Teras Negara-Negara Sepemikiran, yang mengusahakan Resolusi tersebut bagi mensabitkan kebertanggungjawaban Israel terhadap keganasan di Palestin,” kata kenyataan itu.
Pada 28 Februari 2025, Malaysia telah mengemukakan Kenyataan Bertulis mengenai Kewajipan Israel terhadap PBB dan Organisasi Antarabangsa lain serta Negara Ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki. Sesi Pendengaran Awam pada 28 April 2025 merupakan satu kesinambungan kepada Kenyataan Bertulis sebelum ini dan dua Prosiding Pendapat Nasihat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2004 dan 2024.
Dalam Kenyataan Negara, YB Menteri akan mengusulkan hujah-hujah perundangan bagi mensabitkan kewajipan dan akauntabiliti ke atas Israel yang terus menghalang rakyat Palestin dalam penentuan hak nasib sendiri (self-determination).
Penyertaan berterusan Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa menzahirkan komitmen Negara yang tidak berbelah bahagi dalam menegakkan keadilan, keamanan dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Negara. -MalaysiaGazette