PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen kehilangan segala-galanya termasuk pekerjaan dan sumber pendapatan hanya kerana wang rasuah RM5,000.
Peguam, Datuk Mohtarudin Baki berhujah, sumbangan anak guamnya, Azmil Muntapha Abas, 50, ketika berkhidmat dalam badan kehakiman selama 17 tahun lenyap begitu sahaja.

Mohtarudin yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berhujah, beliau yang memberi khidmat guaman secara percuma (pro bono) berasa tidak sampai hati untuk menolak ketika responden meminta untuk mewakilinya.
Ujar Mohtarudin, Azmil Muntapha pernah berkhidmat sebagai timbalan pendaftar ketika beliau berjawatan hakim Mahkamah Rayuan.
“Saya menulis laporan yang baik mengenainya ketika dia bekerja di bawah saya. Saya juga tidak pernah menerima sebarang aduan daripada hakim lain mengenainya.
“Hari ini, dia duduk dalam kandang perayu dalam keadaan malu dan penuh penyesalan. Hanya kerana wang RM5,000, anak guam saya hilang segala-galanya,” hujah beliau.
Terdahulu, seorang lagi peguam, Datuk Ishak Mohd. Yusoff turut berhujah agar anak guam mereka diberi peluang memulakan hidup baharu.
Hujah beliau, Azmil Muntapha kini berpendapatan tidak menentu dan perlu menjaga ibunya yang berusia 85 tahun.
Sehubungan itu, pasukan pembelaan memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah, pengurangan hukuman penjara enam bulan kepada penjara sehari terhadap Azmil Muntapha gagal menunjukkan keseriusan kes rasuah yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berhujah, hukuman penjara enam bulan yang dijatuhkan terhadap bekas hakim berkenaan tidak berpatutan apatah lagi hukuman penjara sehari.
Hujah beliau, sebagai hakim Mahkamah Sesyen, responden seharusnya melaksanakan undang-undang namun menyalahgunakannya.
Farah Ezlin berhujah, Azmil Muntapha tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya mengetahui perbuatannya menerima rasuah satu kesalahan.
“Kami memohon rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara sehari yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi, diketepikan.
“Jika hukuman itu tidak ditambah, penjara enam bulan itu seharusnya dikekalkan,” hujah beliau.
Farah Ezlin berhujah dalam rayuan pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sehari terhadap Azmil Muntapha kerana kesalahan rasuah.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan Azmil Muntapha menjalani hukuman penjara enam bulan serta merta kerana menerima rasuah RM5,000 berkaitan prosiding jenayah yang dikendalikannya tujuh tahun lalu.
Panel diketuai oleh Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya terhadap hukuman.
Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengeluarkan waran komital agar Azmil Muntapha selaku responden dihantar ke penjara serta merta.
Dia yang merupakan koroner dalam prosiding inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock iaitu Setiausaha Politik Exco Selangor sewaktu dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalani hukuman di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: