Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan kenyataan dibuat oleh bendaharinya, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar bersifat peribadi dan tidak mewakili parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan itu juga tidak sama sekali mewakili dasar dan pandangan Pas sebagai sebuah parti politik baik tentang Singapura sebagai sebuah negara mahupun proses-proses yang berjalan di republik itu.

“Pas percaya mereka berdua hanya menyuarakan pandangan peribadi masing-masing dan tidak bertujuan campur tangan apatah lagi cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya Singapura yang dijadualkan pada 3 Mei depan seperti didakwa.

“Selain respons segera mereka yang menafikan dakwaan tersebut di media sosial, dasar Pas berhubung hubungan rasmi dua pihak sebagai saluran sah dalam menyampaikan apa-apa
pandangan atau membincangkan isu-isu kepentingan bersama termasuk dengan kerajaan Singapura seperti yang terjalin selama ini ialah bukti jelas dakwaan itu tidak tepat atau benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik di Facebook oleh warga asing termasuk dua pemimpin Pas tersebut.

Terdahulu, laporan media dari republik itu mendakwa, Iskandar dan Mohamed Sukri Omar dikenal pasti cuba campur tangan dalam PRU 2025 Singapura.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, tindakan sebilangan warga asing yang menggesa rakyat negara itu mengundi berlandaskan agama adalah sesuatu yang melampaui batas.

Lawrence Wong menegaskan politik berasaskan kaum dan agama tidak boleh sama sekali dibiarkan mengakar dalam sistem politik negara itu apatah lagi dengan campur tangan pihak asing.

Mengulas lanjut, Taikyuddin berkata, dakwaan oleh Singapura terhadap dua pemimpin Pas sebagai cubaan mempengaruhi PRU republik itu adalah tidak berasas dan keterlaluan.

Bagaimanapun, beliau  akur bahawa Singapura berhak mengambil langkah tertentu untuk melindungi kepentingan negara.

“Sebagai negara berdaulat, kami menghormati hak Singapura untuk bertindak mengikut undang-undangnya sendiri.

“Pas menghormati perhatian dan kebimbangan Singapura dalam hal ini, namun pada masa sama percaya reaksinya yang membabitkan dua pemimpin Pas itu adalah sedikit berlebihlebihan dan bersifat sepihak terutama sekali ketika Pas sendiri mempunyai hubungan baik dan saling menghormati dengan kerajaan republik itu,” jelas Takiyuddin lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here