SELAYANG – Flat Sutera, Taman Desa Bakti yang dulunya menjadi harapan penduduk berteduh, tetapi hari ini ia sekadar lambang kesabaran penduduk yang tidak pernah lelah menanti perubahan.
Mat Ali Sidek yang sudah hampir empat dekad menetap di kawasan ini meluahkan rasa bagaimana beliau menyaksikan sendiri bagaimana flat tempat tinggalnya perlahan-lahan bertukar menjadi kawasan daif yang dibebani dengan pelbagai masalah.
“Keadaan rumah ini sudah terlalu uzur. ‘Wiring’ semua dah lama, sampah merata-rata, lif pun lama tidak berfungsi. Kami sudah tunggu terlalu lama,” luahnya dengan nada penuh harapan kepada wartawan MalaysiaGazette ketika di temui di sini.
Apa yang Mat Ali impikan bukanlah kemewahan tetapi cukup sekadar sebuah rumah yang selesa, selamat, dan bermaruah untuk dirinya dan keluarga.
Mat Ali antara ratusan penduduk di Flat Sutera yang menyokong penuh usaha pembangunan semula kawasan mereka di bawah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Katanya, ini bukan tentang mahu hidup bermewah sebaliknya lebih realistik demi kelangsungan kehidupan dia sekeluarga.
“Kalau dapat unit baru 900 kaki persegi, cukup selesa. Ini bukan soal mewah, ini soal kelangsungan hidup,” tambahnya.
Manakala bagi Ruslan Muhid berkongsi rasa yang sama kerana sejak 39 tahun lalu, dia yang sudah berkeluarga menghabiskan sebahagian besar hidupnya di flat itu.
“Flat ni macam tempat simpanan sampah buruk. Hendak beli barang pun susah, tiada kedai, tak ada padang permainan untuk anak-anak, sebutlah apa jenis kemudahan semuanya tidak ada,” ujarnya emosi.
Tetapi pada masa sama kata Ruslan, apa yang paling penting adalah memastikan hak penduduk dipertahankan dalam pembangunan semula ini.
“Kami setuju pembangunan semula, tapi jangan suruh kami pinjam bank. Kami ni dah umur lanjut, hendak bayar pinjaman mana sempat,” ujarnya.

Bagi penduduk Flat Sutera, kisah kejayaan pembangunan semula bukan sekadar mimpi mereka melihat bukti nyata di sebuah tempat tidak jauh dari situ, Flat Razak Mansion yang kini bertukar ala-ala ‘kondominium.
Di Razak Mansion, Bandar Tun Razak pula, rata-rata penduduknnya gembira dan selesa dengan kehidupan selepas perubahan besar pembangunan semula tujuh tahun lepas.
Menurut Anthony Tan yang lahir dan membesar di Razak Mansion, pembangunan semula penempatan itu telah mengubah kehidupan mereka secara menyeluruh.
“Dulu Razak Mansion flat kos rendah, 400 kaki persegi, tak ada sekuriti, semua terbuka. Sekarang, apartmen ‘fully gated’ ada pengawal, ada tempat parkir bertutup,” katanya.
Bukan itu sahaja, kata Anthony teruja pada nilai hartanah mereka juga melonjak daripada RM60,000 kepada lebih RM300,000 hari ini.

“Lebih penting, komuniti kami jadi lebih erat. Ada dewan serbaguna, kita boleh buat sambutan perayaan dalam kalangan semua kaum bersama-sama macam satu keluarga besar.
“Kita juga kemudahan seperti ada pasar pagi yang begitu dekat selain kedai-kedai keperluan termasuklah pasar raya di sini, sekolah juga dekat, rumah beribadat boleh jalan kaki sahaja, semuanya senang,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Razak Mansion, Abd Wahab Mohd Isa turut bersyukur dengan perubahan itu setelah 27 tahun hidup di rumah lama yang kerap dilanda banjir dan penuh masalah keselamatan, kini beliau menikmati kediaman baharu yang jauh lebih selesa.
“Dulu rumah kecil, dua bilik tidur sahaja. Sekarang tiga bilik tidur, dua bilik air, 800 kaki persegi. Memang selesa untuk keluarga besar.
“Lebih penting, aspek keselamatan dan pengurusan strata yang profesional menjadikan kehidupan mereka jauh lebih terjamin.
“Alhamdulillah, lif pun tak pernah rosak, keselamatan pun lebih terjaga. Dulu surau kami pun boleh banjir bila hujan. Sekarang semuanya bersih dan besar,” kata Abd Wahab.

Beliau juga menegaskan tawaran pembangunan semula adalah sangat berbaloi.
“Dulu harga rumah RM42,000 saja. Mana nak cari rumah harga macam tu di tengah Kuala Lumpur?” katanya tersenyum.
Bagi Mat Ali, Ruslan, dan penduduk Flat Sutera, kisah Razak Mansion menjadi sumber ilham membuktikan bahawa perubahan itu bukan hanya janji, tetapi realiti yang mampu mengubah kehidupan mereka.
Mereka kini mengharapkan agar pembangunan semula Flat Sutera dapat disegerakan, dengan hak dan maruah pemilik asal terus dilindungi.
Penduduk juga berdoa agar satu hari nanti, Desa Bakti juga mampu berdiri megah seperti Razak Mansion sebuah komuniti baharu yang selesa, selamat dan sejahtera. – MalaysiaGazette
