SUBANG JAYA – Lokasi jengkaut yang dipercayai terbenam di lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, dikenal pasti.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja pengorekan untuk mengeluarkannya tidak boleh dilakukan pada masa ini.
Jelasnya, ini kerana kerja pengorekan tanah tidak boleh boleh dilakukan di beberapa lokasi berdekatan dalam satu masa yang sama ekoran aspek keselamatan.
“Kita sudah tahu lokasinya (sisa jengkaut), ia berada di luar kawasan pengorekan tanah (yang dilakukan sekarang. (Jadi) Kalau kita korek sekarang, ia akan ganggu kerja pengorekan di tengah (yang sekarang).
“Kita tidak boleh lakukan pengorekan tanah di beberapa lokasi dalam satu masa, sebab ia melibatkan keselamatan juga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membawa pengamal media meninjau kerja-kerja pengorekan tanah iaitu antara siasatan terpenting untuk mengetahui punca letupan dan kebakaran berlaku pada 1 April lalu.
Selain meninjau lokasi, beliau turut memberi taklimat kepada media mengenai cabaran siasatan di lokasi.
Hussein sebelum ini berkata, jengkaut yang ditinggalkan kontraktor di lokasi kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights dipercayai sudah terbenam akibat insiden itu.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah bagi menggantikan paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
Namun katanya, pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu adalah punca kejadian terbabit.
Letupan dan kebakaran di Putra Heights itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus.
Manakala, sebanyak 81 rumah lagi mengalami kerosakan separa, 57 rumah terkesan tanpa terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – MalaysiaGazette