BALIK PULAU – Seorang kanak-kanak lelaki patah tangan kiri selepas baju hujan yang dipakainya tersangkut pada tayar motosikal yang diboncengnya di Kampung Permatang Pasir, di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa berusia lapan tahun itu memakai baju hujan bersaiz besar menyebabkan bahagian hujungnya terbelit di tayar motosikal yang ditunggangi ibu saudaranya.
Bapa mangsa Syukry Said, 41, berkata, kejadian berlaki kira-kira jam 9.30 pagi ketika, anaknya, Muhammad Aryan Shah dari arah Sungai Pinang menghala ke rumah ibu saudaranya.
“Anak saya tak sihat hari ini dan tak pergi ke sekolah jadi kami minta ibu saudara tolong jagakan dia berikutan saya kerja.

“Berikutan hujan lebat, dia dipakaikan baju hujan namun lengan pakaian itu tersangkut pada tayar motosikal dan saya difahamkan penduduk berhampiran bantu anak kedua saya itu sebaik melihat kejadian yang berlaku.
“Bagaimanapun, impak kejadian itu menyebabkan dia patah tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Balik Pulau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, saksi kejadian, Johan Abu Bakar, 41, berkata, dia bersama kira-kira 15 orang awam yang lain turut membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit kira-kira 20 minit.
“Mangsa dihantar ke hospital oleh pengguna jalan raya yang melalui lokasi kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette















