KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memperkenalkan dasar pemaparan harga ubat di premis kesihatan swasta.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pendekatan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan suara semua pihak diambil kira sebelum pelaksanaan dasar dibuat.
Katanya, ia adalah hasil libat urus yang telah dijalankan secara menyeluruh oleh KKM bersama semua pihak berkepentingan termasuk pengamal perubatan swasta dari klinik dan hospital swasta lebih setahun yang lalu.
“CUEPACS juga menyambut baik syor yang telah lama dikemukakan oleh pelbagai persatuan pengguna yang mahukan ketelusan harga ubat bagi membolehkan rakyat mengetahui dan membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
“Dalam keadaan kos perubatan yang semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha ke arah memberikan akses rawatan yang lebih adil dan mampu milik kepada semua lapisan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, penting untuk ditegaskan, dasar berkenaan bukan satu bentuk kawalan harga ubat, sebaliknya merupakan inisiatif ke arah ketelusan maklumat dan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dijual.
Ia juga, katanya, membuka ruang kepada persaingan sihat dalam sektor kesihatan swasta yang pada akhirnya menguntungkan rakyat.

“CUEPACS turut menghargai pendekatan berhemah kerajaan yang memberikan tempoh selama tiga bulan kepada semua pihak yang terlibat untuk melaksanakan dasar ini tanpa tindakan penguatkuasaan.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan kerjasama, persediaan dan penyesuaian yang adil kepada semua penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.” tambahnya.
Katanya lagi, sebagai wakil kepada jutaan penjawat awam yang turut menjadi pengguna perkhidmatan kesihatan swasta, CUEPACS melihat dasar itu sebagai langkah ke hadapan dalam meningkatkan sistem kesihatan negara yang lebih telus, mesra rakyat dan bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















