Kerk Chee Yee

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin DAP menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh telah keliru apabila menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi bagi menentang naratif bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat Malaysia.

Kerk Chee Yee yang juga Setiausaha Publisiti DAP Melaka berkata, tiada pihak mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, malah ia harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia atau parti politik.

“Dalam kenyataan Facebook Dr Akmal, beliau telah memetik Perkara 152 dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, dan tanggungjawab Yang-di-Pertuan Agong (Raja Malaysia) untuk menjaga kedudukan istimewa ‘Melayu’ dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.

“Walaubagaimanapun, ia tidak bercanggah dengan fahaman bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia Melayu, Cina, India, Orang Asli, rakyat Sabah dan Sarawak dan setiap warganegara yang menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka.

“Prinsip kewarganegaraan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak memilih kaum, agama atau wilayah. Setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk merasa bangga, dilindungi dan diterima sebagai sebahagian daripada negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Dr Akmal dipetik berkata, Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah.

Beliau mengingatkan Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp supaya memahami sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan, dan tidak menjadi seperti kaduk naik junjung.

Terdahulu, Roger Yapp dalam kenyataan berkata, Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya adalah milik semua warganegaranya tanpa mengira kaum.

Tambah Roger Yapp, masa depan negara ini juga mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan.

Mengulas lanjut, Chee Yee berkata, patriotisme yang sebenar terletak pada perpaduan, bukan perpecahan.

Justeru katanya, pemimpin seharusnya membina jambatan dan bukan membakar sempadan.

“Kekuatan terbesar Malaysia adalah pada kepelbagaian kita dan kemajuan bersama hanya boleh dicapai melalui saling hormat, saling melindungi dan saling memperkasa,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Malaysia selamanya Tanah Melayu, jangan jadi `kaduk naik junjung’ – Akmal

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast