Pelakon, Edika Yusof (kanan) sah bercerai talak satu terhadap isterinya, Nor Hidayah Yusri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 MEI 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahligai perkahwinan yang terbina selama 21 tahun antara pelakon era-90,  Edika Yusof dan Nor Hidayah Yusri, akhirnya runtuh apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Lafaz cerai itu direkodkan dalam prosiding mahkamah pada jam 10.42 pagi oleh Edika atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abd Majid, 58, terhadap Nor Hidayah,47 di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.

Sebaik selesai melafazkan talak, Edika kelihatan sugul manakala Nor Hidayah yang berkerusi roda itu mengalirkan air mata sebelum keluar dari kamar mahkamah.

Hakim syarie mengesahkan penceraian terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Isteri kepada pelakon, Nor Hidayah Yusri keluar selepas sah bercerai talak satu dengan suaminya yang merupakan seorang pelakon, Edika Yusof, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 MEI 2025

Terdahulu, pelakon filem ‘Maria Mariana’ itu hadir tanpa peguam sekitar jam 10 pagi manakala Nor Hidayah yang memakai tudung merah dan bebaju hitam diwakili peguamnya, Mohd Yazid Hazim.

Pada 23 April lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menangguhkan prosiding lafaz cerai Edika terhadap isterinya kepada 5 Mei berikutan wanita itu dalam keadaan tidak suci.

Bagaimanapun, Edika terpaksa akur dengan permintaan Nor Hidayah yang berkeras mahu berpisah dan enggan mendapatkan bantuan kaunseling serta pendamai.

Pelakon, Edika Yusof berjalan keluar dari kamar mahkamah selepas sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 MEI 2025

Sebelum ini, pasangan terbabit menarik perhatian ramai apabila bapa dua cahaya mata itu dilapor sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.

Hasil perkongsian hidup selama dua dekad pasangan ini sejak 2004, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast