KUALA LUMPUR – Malaysia akan memulakan rundingan tarif rasmi berhubung isu tarif timbal balik bersama wakil perdagangan Amerika Syarikat (USTR) esok.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, rundingan itu akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa.
Menurut beliau, menerusi rundingan itu, Malaysia bukan sahaja berharap supaya tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh AS sebelum ini dapat dikurangkan, malah tiada langsung tarif dikenakan khususnya bagi sektor-sektor tertentu dan penting kepada negara.
“AS boleh bersetuju jika ada persetujuan berhubung isu-isu yang mereka boleh bersetuju.
“Dalam rundingan ini sudah semestinya ada situasi menang-menang, you have to give and take,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, sidang khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini membincangkan perkembangan terkini serta langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan susulan kenaikan tarif timbal balik yang dikenakan AS ke atas Malaysia seperti diumumkan awal April lalu.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan Malaysia menerusi delegasi yang diketuai Tengku Zafrul ke Washington baru-baru ini menunjukkan hasil positif dengan AS berkemungkinan menurunkan kadar tarif awal, namun ia belum muktamad.
Sementara itu, ditanya berkenaan tuntutan AS dalam mempertimbangkan permintaan Malaysia, Tengku Zafrul berkata, terdapat empat perkara utama yang dibangkitkan antaranya ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara yang mana AS mendakwa wujud defisit perdagangan sebanyak AS$25 bilion dengan Malaysia.
Selain itu, katanya, USTR turut menyentuh mengenai halangan bukan tarif yang mana negara berkenaan beranggapan ia boleh diperbaiki dan mahukan Malaysia memberi perhatian.
“Contohnya seperti isu halal yang turut dibangkitkan dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
“Ia bukan berkenaan sijil halal itu semata-mata, tetapi berkenaan prosesnya, mengapa sijil halal ini mengambil masa yang lebih panjang berbanding pensijilan lain,” katanya.
Aspek lain yang turut dibangkitkan USTR, ujar beliau, adalah berkenaan keselamatan teknologi yang mana negara itu tidak mahu teknologi dibangunkan mereka digunakan oleh pihak ketiga yang tidak mendapat kebenaran.
“Sebab itulah mereka kenakan sekatan eksport terhadap cip elektronik, contohnya.
“Jadi, apa sahaja cip yang sampai ke Malaysia, Indonesia atau Singapura, mereka mahu pastikan negara-negara ini tidak membenarkan cip itu dihantar atau diseludup ke negara lain, begitu juga dengan penggunaannya. Ini berkaitan dengan perlindungan teknologi,” katanya.
Serentak itu, tambah Tengku Zafrul, bagi menangani isu kemungkinan transshipment dari negara tertentu ke pasaran AS melalui Malaysia, semua Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (Non-Preferential Certificates of Origin) untuk tujuan eksport ke AS hanya akan dikeluarkan oleh MITI berkuat kuasa esok.
Jelasnya, semua pengeluaran NPCO ke pasaran AS oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan berkaitan yang dilantik oleh MITI sebelum ini akan dihentikan serta-merta.
“Dalam masa sama, MITI akan meningkatkan audit ke atas semua permohonan NPCO ini dan kita akan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kastam untuk membendung sebarang cubaan transshipment ke negara-negara lain, terutama AS,” katanya.
Sementara itu, ujar Tengku Zafrul, aspek terakhir yang dibangkitkan USTR adalah berkenaan pelaburan yang mana AS mahu melihat Malaysia melabur dalam sektor-sektor yang menyokong industri negara berkenaan.
“Dalam hal ini, kita memang sudah melabur banyak di AS.
“Hari ini pun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah melabur hampir AS$45 bilion dalam pasaran bon dan ekuiti di Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette
















