SIDANG khas Dewan Rakyat hari ini kecoh ekoran perang mulut antara Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Sidang khas Dewan Rakyat berkenaan isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) hari ini tegang seketika selepas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berang apabila dirujuk seperti ‘terlepas kandang’ oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kekecohan itu bermula ketika Shahidan dalam perbahasannya menggesa supaya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz lebih bersemangat pada sesi penggulungan perbahasan itu pada hujung sidang khas hari ini.

Tambah Shahidan, ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan kurang bersemangat ketika berucap pada sidang khas itu awal hari ini yang disifatkan beliau mungkin kerana ketiadaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ujar Shahidan, barisan Ahli Parlimen pembangkang tidak akan menyokong usaha kerajaan dalam sidang khas ini sekiranya Tengku Zafrul juga tidak bersemangat dan hambar dalam penggulungannya kelak.

Bagaimanapun, Mohd Sany bangun mencelah dan menyifatkan ketiadaan semangat seperti yang disebut Shahidan itu sebagai punca kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan Mohd Sany itu, Shahidan membalas supaya tidak ada sikap seolah-olah `terlepas kandang’ yang bakal menyusahkan banyak pihak.

“Kita nak bersatu padu memang ramai yang nak…tapi ada orang yang tak suka bersatu padu sebab dia akan hilang kedudukan.

“Jadi ada orang yang apabila kita cuba cakap baik pun dia akan cuba menggila-gila kacau kita, tak boleh macam tu saya tak benarkan…Hulu Langat…saya anggap ini seperti tindakan terlepas kandang,” katanya.

Susulan itu, Mohd Hasny kemudiannya bangkit dan mendesak Shahidan menarik balik kenyataan `terlepas kandang’ dengan merujuk kepada aturan mesyuarat berkenaan seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli lain.

“Dia sebut kandang…dia tuju Hulu Langat. Kandang ini untuk binatang, untuk babi, sebab itu di Ayer Kuning tidak ada isu…terpaksa minta tolong dengan babi, babi pun sudah tak nak tolong PN.

“Ini masalahnya, orang cari pengundi, bukan cari babi, bukan cari tahi. Jadi MP (Ahli Parlimen) sudah lama, sudah tua bangka…tapi akhlak tidak ada, adab tidak ada. Samakan orang dengan binatang. Saya minta dia tarik balik,” katanya.

Kekecohan yang beterusan itu kemudiannya memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau campur tangan dan menjelaskan akan menyemak hansard terlebih dahulu berhubung dakwaan Shahidan terbabit.

Sementara itu, menyambung perbahasannya, Shahidan turut mempersoalkan berkenaan rundingan yang dijalankan Malaysia bersama AS yang hanya dihadiri oleh seorang Menteri iaitu Tengku Zafrul.

Sedangkan, kata beliau, rundingan itu sepatutnya turut dihadiri seorang lagi Menteri khususnya Rafizi memandangkan tempoh lantikan Senator Tengku Zafrul akan tamat pada hujung tahun ini.

“Sepatutnya dua Menteri yang berunding iaitu MITI (Tengku Zafrul) dan Kementerian Ekonomi pun patut pergi bersama.

“Sebab Tengku Zafrul adalah Senator yang akan habis perkhidmatan beliau tahun ini, jadi siapa nak sambung?

“YB (Tengku Zafrul) mungkin jadi Duta selepas ini, tetapi peranan Duta itu tidak sama dengan rundingan, kena ada Menteri yang ikut bersama.

“Sekurang-kurangnya Menteri Ekonomi (turut serta) yang saya rindu formula dia…mungkin dia ada formula baharu yang boleh diperkenalkan untuk kita dengar dan bincang bersama.

“Ini penting YB, jadi untuk next trip (delegasi mesyuarat akan datang), mesti dapatkan Menteri Ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast