ISU kebolehcapaian terhadap sistem pengangkutan awam kekal sebagai salah satu cabaran utama dalam usaha meningkatkan keberkesanan mobiliti rakyat, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Walaupun rangkaian perkhidmatan utama seperti rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), dan bas ekspres telah berkembang pesat, masalah first mile dan last mile masih menjadi penghalang utama kepada penggunaan optimum sistem tersebut.
Sehubungan itu, Kerajaan Madani di bawah aspirasi Ekonomi Madani telah mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuhkan ekosistem pengangkutan negara melalui pelbagai inisiatif strategik. Antara usaha signifikan yang diperkenalkan termasuklah penyediaan perkhidmatan perantara seperti bas mini dan van yang berfungsi secara responsif mengikut permintaan setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menambah baik sambungan ke terminal utama pengangkutan awam, malah mencerminkan iltizam kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui sistem pengangkutan yang inklusif, efisien dan mampan.

Kerajaan menyedari kemudahan pengangkutan awam yang menyeluruh dan mudah dicapai merupakan elemen penting dalam meningkatkan taraf hidup, mengurangkan kos sara hidup, serta menyokong kelestarian alam sekitar. Maka, pelaburan berterusan dalam sektor ini menjadi keutamaan nasional.
Ia selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani di mana kerajaan menekankan prinsip-prinsip seperti menaikkan lantai kehidupan rakyat, meningkatkan tatakelola, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Usaha ini selaras dengan objektif untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan, dan selesa untuk manfaat semua rakyat.
Usaha Berterusan Kerajaan di Bawah Kerangka Ekonomi Madani
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM750 juta dalam Belanjawan 2025 bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam negara. Peruntukan ini merangkumi subsidi pengangkutan rel dan udara, dengan RM200 juta daripadanya diperuntukkan khusus untuk meningkatkan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak. Selain itu, pelaburan turut dibuat untuk menaik taraf infrastruktur dan memperkenalkan pendekatan teknologi pintar dalam pengurusan pengangkutan.
Peruntukan ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Madani untuk memastikan rakyat dari pelbagai latar belakang – sama ada di bandar mahupun luar bandar – mendapat akses yang adil dan setara terhadap perkhidmatan awam yang berkualiti.
Antara inisiatif yang paling mendapat sambutan sudah semestinya perjalanan tanpa had My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang dikendalikan di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di mana menerusi Belanjawan 2025 subsidi My50 dan Pas Mutiara diteruskan dengan peruntukan RM226 juta.

Setakat ini, lebih separuh daripada pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang adalah pemegang pas My50 dengan jumlah pengguna bulanan mencecah sehingga 250,000 orang.
Di Selangor pula, penduduknya juga sudah tidak asing lagi dengan perkhidmatan bas percuma iaitu Smart Selangor yang diperkenalkan sejak 10 tahun lalu menerusi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM20 juta setahun.
Namun, di sebalik kecanggihan jaringan sistem pengangkutan awam yang dimiliki negara, perlu diakui masih terdapat beberapa kelemahan yang menjadi penghalang kepada pengguna untuk benar-benar menikmati kemudahan pengangkutan tersebut.
Perkhidmatan Perantara dan Demand Responsive Transit (DRT)
Isu utama sudah semestinya keterhubungan antara orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan kediaman yang agak jauh untuk mendapat akes yang cepat dan mudah kepada pengangkutan awam.
Bagaimanapun, kekangan itu juga kini sudah diatasi menerusi pengenalan inisiatif Rapid KL On-Demand yang sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau Rapid DRT.
Seperti dijelaskan Ketua Pegawai Operasi (COO) Prasarana, Amir Hamdan, inisiatif Rapid DRT itu adalah kemudahan van yang lebih fleksibel untuk bergerak dan akses di kawasan-kawasan lebih kecil yang tidak dapat diakses oleh bas.

Meskipun baru diperkenalkan iaitu pada Mei tahun lalu dengan permulaan 20 buah bas, inisiatif Rapid DRT menurut Amir mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
Sehubungan itu, tambahnya, Prasarana merancang menambah sebanyak 300 buah van Rapid DRT lagi tahun ini bagi menyokong operasi 116 buah van sedia ada yang sedang beroperasi di sebanyak 39 buah zon.
“Di samping itu, inisiatif ini juga telah kita perkenalkan di Pulau Pinang melibatkan sebanyak 17 buah van di empat zon di negeri tersebut.
“Alhamdulillah, sama ada di Lembah Klang atau di Pulau Pinang, perkhidmatan ini menunjukkan jumlah peningkatan pengguna yang ketara dan ini memberi satu gambaran kepada kami yang mana inisiatif ini akan lebih berjaya pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program podcast MalaysiaGazette yang bertajuk ‘Dari Pintu Rumah ke Stesen: Cukupkah Sistem Perantara Kita?’ di studio MalaysiaGazette di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Podcast yang dihoskan wartawan MalaysiaGazette, Rosnani Nasir itu turut menampilkan seorang lagi ahli panel iaitu Penasihat Dasar Pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Afiq Aziz.
Sementara itu, Afiq berkata, sebagai negeri dengan jumlah penduduk yang ramai iaitu sekitar 7.4 juta orang, ditambah dengan penduduk di Lembah Klang kira-kira dua juta orang, Selangor mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan mutu sistem pengangkutan awamnya setanding serta turut menyokong kemudahan yang ditawarkan Prasarana.
Integrasi Sistem Pengangkutan Awam Selangor-Prasarana
Sehubungan itu, katanya, Selangor turut bekerjasama dengan Prasarana khususnya dalam mengintegrasikan sistem pengangkutan awam yang dimiliki negeri itu seperti aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) dengan inisiatif Rapid DRT.

“Dalam masa sama kita juga berusaha untuk mengintegrasikan semua aplikasi yang ditawarkan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini di bawah satu bumbung supaya memudahkan para pengguna.
“Kita juga akan melaksanakan sesi penerangan kepada rakyat secara menyeluruh sama ada menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pemimpin masyarakat setempat supaya semua peringkat rakyat termasuk warga emas boleh menikmati kemudahan pengangkutan awam yang disediakan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat ini,” katanya.
Sesuatu yang pasti, usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bukan bukan sekadar untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya semata-mata.
Sebaliknya, ia turut berkait dengan sasaran kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 yang salah satunya faktornya disumbangkan oleh penggunaan kenderaan berasaskan petrol.
Pelaksanaan perkhidmatan perantara seperti DRT merupakan langkah progresif dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam Malaysia. Ia bukan sahaja menyelesaikan cabaran mobiliti di kawasan pinggir bandar, malah memperlihatkan keupayaan kerajaan dalam merangka dasar yang berpaksikan rakyat dan teknologi.
Dengan sokongan dasar melalui Belanjawan 2025 serta hala tuju Kerangka Ekonomi Madani, jelas kerajaan komited untuk membina sistem pengangkutan awam yang lestari, inklusif dan berdaya tahan. Inisiatif ini bukan sekadar melancarkan perjalanan harian rakyat, tetapi juga memperkukuh asas pembangunan negara ke arah Malaysia yang lebih maju, seimbang dan berdaya saing. – MalaysiaGazette
PODCAST PENUH:
PodcastMG : Dari Pintu Rumah ke Stesen: Cukupkah Sistem Perantara Kita?
PodcastMG : Dari Pintu Rumah ke Stesen: Cukupkah Sistem Perantara Kita?