Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Kerajaan negeri akan segera memenuhi 57 prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pembinaan projek Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka yang tertangguh tahun ini tetap dimulakan tahun depan dengan kos baharu RM723 juta.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ini kerana keperluan blok baharu itu amat mendesak dan wajar disiapkan dalam tempoh lima tahun menjelang 2031.

Menurutnya, projek itu telah pun diluluskan dalam pembentangan Bajet 2023 pada Oktober 2022 dengan kos asal sebanyak RM696 juta namun tertangguh disebabkan memerlukan tambahan kos RM27 juta.

“Pada Disember tahun lalu kita telah mengemukakan Permohonan Notis Perubahan (NOC) bagi peningkatan kos dan ianya juga telah diluluskan menjadikan kos terkini sebanyak RM723 juta.

“Bagaimanapun proses ini akan mengambil masa agak lama kerana ia akan dibina di tapak Kolej Kejururawatan Melaka bersebelahan Hospital Melaka yang perlu dirobohkan dahulu.

“Kita ada 57 prosedur yang perlu dipatuhi dan ia bukanlah mudah terutamanya melibatkan banyak aspek teknikal namun keperluan blok ini amat mendesak sebab itu tetap tetap perlu dibina tahun depan,” katanya.

Hospital Melaka

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas isu kelewatan status pembinaan projek Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka yang dibangkitkan pembangkang dan penduduk di negeri ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, ketika ini Jawatankuasa Kerja Kesihatan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memuktamadkan dokumen melalui satu bengkel yang akan diadakan hari ini.

“Jika projek ini dapat mengikut jadual, dapatlah kita selesaikan sementara kesesakan di Hospital Melaka yang antara sebabnya adalah apabila Hospital Kem Terendak dirobohkan untuk pembinaan baru.

“Ini menjadikan lebih 100 katil pesakit dalam kalangan tentera di hospital itu terpaksa dipindahkan ke Hospital Melaka sebab itu ruang di sini menjadi sangat terhad,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here