KUALA LUMPUR – Rapid KL akan melanjutkan tempoh operasi rel pada waktu puncak pagi dan petang bermula 23 Mei hingga 28 Mei 2025, sempena sidang kemuncak ASEAN yang ke-46 yang bakal berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Waktu puncak pada hari bekerja sepanjang tarikh tersebut akan ditambah satu jam pada sebelah pagi dan petang.
Ia bermakna operasi rel bermula pada jam 6.30 pagi hingga 10 malam dan 4.30 petang hingga 10 malam.
Kekerapan operasi tren pada hari Sabtu dan Ahad turut dipertingkatkan bagi menampung bilangan penumpang yang dijangka bertambah pada minggu ini.
Lagi laluan Ampang/Petaling kekerapan adalah empat minit dan Kelana Jaya lima minit.
Manakala kekerapan monorel Kajang dan Putrajaya lapan minit.
Rapid KL akan mempertingkatkan pemantauan dan kawalan operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh persidangan, selain bersedia menambah bilangan tren sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang atau keperluan operasi semasa.
Seramai 400 kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen-stesen rel terpilih bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang dan delegasi ASEAN yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Sementara itu, beberapa laluan operasi perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand dijangka mengalami kelewatan jadual perjalanan susulan penutupan jalan secara berperingkat oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.
Antara laluan yang terlibat ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa – LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa – KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa – Chow Kit).
Pengguna bas yang ingin menuju ke KLCC dan kawasan sekitarnya disaran untuk menggunakan perkhidmatan rel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara stesen rel yang boleh digunakan termasuk Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), StesenPersiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay (Laluan Putrajaya) dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL).
Rapid KL menyarankan penumpang agar merancang perjalanan lebih awal, memantau notifikasi terkini melalui media sosial rasmi Rapid KL atau memuat turut aplikasi PULSE, serta mempertimbangkan penggunaan alternatif seperti perkhidmatan rel bagi mengelakkan sebarang kesulitan. – MalaysiaGazette
















