SANAA – Kumpulan Houthi mlaksanakan sekatan marin ke atas Pelabuhan Haifa dengan mengisytiharkan pelabuhan strategik yang dikuasai Israel sebagai sasaran.
Tindakan tersebut merupakan tindak balas terhadap pencerobohan yang dilakukan rejim zionis terhadap Gaza.
Jurucakap kumpulan itu, Yahya Saree memberi amaran kepada syarikat perkapalan yang mana kapal mereka berlabuh atau dalam perjalanan ke pelabuhan itu bakal berhadapan dengan sekatan tersebut.
Sekatan tersebut dilakukan berikutan kejayaan yang dicapai ke atas tindakan sama di Pelabuhan Umm al-Rashrash, dikenali Eilat, yang menerima tekanan daripada kumpulan itu.
Sarre berkata, kumpulan Houthi tidak teragak-agak meningkatkan tekanan dalam menyokong penduduk Palestin.
Katanya, semua tindakan ketenteraan terhadap Israel akan dihentikan jika pencerobohan terhadap Gaza ditamatkan.
“Kami tidak teragak-agak untuk melaksanakan langkah tambahan menerusi solidariti Gaza.” katanya menerusi kenyataan.
Sekatan ke atas Pelabuhan Haifa merupakan fasa terbaharu kumpulan Houthi dalam memperluaskan kempen ketenteraannya.
Pada 4 Mei lalu, kumpulan tersebut mengisytiharkan rancangannya untuk melaksanakan sekatan sepenuhnya ke atas Israel dengan menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion.
Laporan mengesahkan serangan ke atas lapangan tersebut menyaksikan mereka yang berada di situ diarahkan keluar dan penduduk sekitar mencari tempat perlindungan. – Agensi
















