Bas ekpres beratur di kawasan parkir ketika tinjauan suasana orang ramai pulang ke kampung sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 buah syarikat bas ekspres diberi surat tunjuk sebab atas kesalahan menaikkan harga tambang bas ekonomi pada perayaan Aidilfitri 2025.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lima syarikat telah diberikan STS kedua, termasuk dipanggil ke Ibu Pejabat APAD untuk memberikan keterangan lanjut dan bukti tambahan.

Pengeluaran STS ini adalah hasil daripada pemantauan APAD terhadap kenaikan tambang bas ekspres yang melibatkan sebanyak 101 buah syarikat bas ekspres dan 371 buah kenderaan.

Menurunya, pemantauan tertumpu kepada lapan laluan utama yang merangkumi empat terminal utama, iaitu Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu bagi tempoh perjalanan bermula 15 Mac 2025 sehingga 6 April 2025.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD yang bersidang pada 15 Mei 2025, dua syarikat telah didapati menaikkan harga tambang bas ekspres menjelang musim perayaan.

Kedua-dua syarikat ini telah dikenakan tindakan oleh pihak APAD, iaitu sebuah syarikat diberikan notis amaran kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan kenaikan harga tambang yang bersifat nominal, manakala sebuah lagi telah digantung operasinya selama 14 hari kerana gagal menjawab STS kedua.

“APAD akan meneruskan pemantauan terhadap operasi syarikat bas ekspres dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan bagi mencegah sebarang kenaikan harga tambang melebihi kadar siling yang dibenarkan.

“Selain itu, APAD juga akan memantau tahap pematuhan syarikat bas ekspres terhadap keperluan perkhidmatan, termasuk ICOP Keselamatan.

“APAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung Lesen Pengendali, sekiranya didapati melanggar syarat lesen,” katanya di sini.

Sehingga 30 April lalu APAD telah melesenkan sejumlah 177 buah syarikat bas ekspres yang mempunyai 3,854 buah permit kenderaan beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bas ekspres mempunyai dua jenis perkhidmatan iaitu perkhidmatan ekonomi dan eksekutif.

Sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambang sebanyak 10% pada musim
perayaan manakala tiada tambang siling untuk bas eksekutif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast