Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuka permohonan lesen penjajaan kecuali penjaja beredar tanpa kenderaan mulai 1 Jun 2025 sehingga 30 Jun 2025.

Ia merupakan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 sebagai usaha memperkemaskan pengurusan sektor penjajaan di ibukota serta membuka ruang kepada para penjaja tempatan untuk menjalankan perniagaan secara sah dan teratur, selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 merangkumi dua kategori utama, iaitu penjaja beredar tanpa kenderaan dan penjaja sementara.

Penjaja ini merujuk kepada individu yang menjalankan aktiviti jualan secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa menggunakan kenderaan.

DBKL berkata, lesen yang ditawarkan kepada mereka adalah sama ada melalui program semasa atau tanpa program, dengan aktiviti yang dibenarkan termasuk penjualan makanan dan minuman yang berbungkus, penjualan bunga jalanan, serta penjualan permainan kanak-kanak.

Manakala penjaja sementara merujuk kepada individu yang menjalankan perniagaan secara statik di gerai atau petak tepi jalan mengikut waktu operasi yang telah ditetapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan aktiviti yang dibenarkan terhad kepada penjualan makanan dan minuman secara berbungkus sahaja, dan lesen yang disediakan adalah dalam bentuk Lesen Waktu Terhad atau Lesen Gerai Tepi Jalan.

“Semua permohonan yang dikemukakan akan dinilai dan disaring mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh DBKL, manakala maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan serta kaedah permohonan akan diumumkan secara terperinci melalui Portal Rasmi DBKL dan saluran media sosial rasmi DBKL,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya pada bulan Ogos 2025.

DBKL menegaskan semua urusan permohonan hendaklah dibuat secara langsung kepada pihaknya kerana DBKL tidak melantik mana-mana individu, wakil atau pihak ketiga untuk menguruskan permohonan ini, sekaligus mengelakkan sebarang unsur penipuan atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.

“DBKL yakin bahawa pelaksanaan inisiatif Pemutihan Penjaja 2025 akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan daya saing dan profesionalisme serta menyumbang kepada persekitaran ekonomi yang lebih mampan, tersusun dan inklusif di Kuala Lumpur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast